Kulit lelaki PNG dicacah serupa macam buaya

Golongan remaja ambil risiko sertai upacara inisiasi paling ekstrem di dunia

Berita Harian - - DUNIA -

Budak lelaki, seawal usia 11 tahun dalam suku kaum di Papua New Guinea mengambil risiko terhadap nyawa mereka menyertai upacara inisiasi paling ekstrem di dunia.

Upacara keagamaan tradisi yang memuja buaya dan menghormati roh sungai akan berakhir dengan kulit mereka menyerupai dengan reptilia yang ganas dalam air itu.

Anggota lelaki daripada kumpulan Chambri yang menghuni 721 kilometer dari Port Moresby dekat Tasik Chambri - akan menjalani satu inisiasi cukup menyakitkan untuk berubah daripada seorang budak menjadi lelaki.

Ia membabitkan kerelaan budak itu membenarkan kulitnya dicacah beberapa kali dan apabila pulih ia akan menyerupai kulit buaya.

PNG dengan 80 peratus penduduknya tinggal di kampung-kampung terpencil yang jarang berhubung dengan dunia luar dikatakan melakukan upacara ini sebagai satu amalan.

Anggota badan lelaki dicacah pisau tajam bagi menyerupai kulit buaya di rumah roh di perkampungan Parambei antara upacara wajib untuk membuktikan ‘kejantanan‘’ mereka.

Upacara menyakitkan

Justeru, anggota seperti punggung, bahu dan bahagian atas perut akan meninggalkan parut panjang mirip kulit buaya.

Tetapi sebelum itu mereka terpaksa menjalani upacara yang menyakitkan sebelum diiktiraf lelaki sejati.

“Remaja lelaki dibawa ke rumah roh oleh bapa saudara mereka untuk dicacah. Ia mengambil masa sejam hingga dua jam. Sebelum ini, kerja mencacah kulit menggunakan buluh tajam,” kata ketua kampung Parambei, Aaron Malingi.

Melihat parut dicacah pada badan lelaki ini, sudah cukup membayangkan kesakitan dirasai mereka.

“Beberapa orang remaja lelaki pengsan akibat tidak dapat menahan kesakitan,” dedah Malingi.

Sambil itu, lelaki dewasa meniup seruling untuk menenangkan mereka sementara luka cacah itu disapu dengan minyak pokok dan lumpur sungai bagi mencegah jangkitan.

Malingi berkata, upacara mencacah itu adalah simbolik pembersihan darah ibu mereka selain menuju alam dewasa.

Sepanjang upacara itu, remaja lelaki ini akan tinggal selama beberapa bulan dalam rumah roh untuk mempelajari kemahiran hidup.

“Mereka memperoleh pengetahuan roh kampung, bagaimana memancing, mengukir dan menyara isteri serta keluarga,” kata Malinggi.

Ketika ditanya mengapa buaya menjadi haiwan penting untuk memuja roh di sungai Sepik di PNG, Malinggi berkata masyarakatnya memandang tinggi haiwan reptilia itu.

“Buaya adalah simbol kuasa. Sememangnya kami takut haiwan itu tetapi sebenarnya kami mendapat tenaga dari kuasa itu.”

Lelaki di perkampungan Parambei menunjukkan bahagian belakang yang dicacah menyerupai sisik buaya.

Proses mencacah anggota badan mengambil masa satu hingga dua hari.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.