Berita Harian

Peng Soon, Liu Ying akur penangan Siwei-yaqiong

-

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-goh Liu Ying mempunyai tempoh tiga hari bagi membuat persiapan sebelum kembali bertarung dengan juara badminton dunia dan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 dari China, Zheng Siwei-huang Yaqiong.

Semalam, gandingan negara itu terpaksa akur di tangan Siwei-yaqiong apabila tunduk 16-21, 21-17, 14-21 dalam aksi separuh akhir saingan Terbuka Jepun.

Namun, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu berpeluang menebus kekalahan itu apabila dijadual bertemu sekali lagi pada pusingan pertama Terbuka China yang akan membuka tirai saingan di Changzhou, Selasa ini.

“Memang undian Terbuka China kali ini sukar untuk kami apatah lagi kami perlu menentang Siwei-yaqiong sekali lagi hanya selepas tiga hari seawal pusingan pertama. Kami perlu mencari formula terbaik bagi menewaskan mereka.

Boleh lakukan lebih baik

“Hari ini (semalam) kami bermain agak baik, tetapi saya percaya kami boleh lakukan lebih baik lagi. Kami terlalu fikir mahu menang dan itu membuatkan kami hilang fokus dan terburu-buru di atas gelanggang.

“Untuk perlawanan seterusnya, kami perlu bersedia daripada aspek mental dan fizikal kerana mereka bermain di tempat sendiri selain reputasi yang mereka miliki.

“Apa pun, kami tidak akan menyerah kalah dengan mudah,” kata Peng Soon ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Liu Ying berkata, mereka perlu memantapka­n corak permainan bertahan yang memberi banyak mata mudah kepada lawan mereka yang juga pasangan nombor satu dunia.

“Corak menyerang mereka sangat kuat dan mereka miliki kepantasan. Jadi, kami perlu memperbaik­i kelemahan ketika bertahan agar tidak memberi mata mudah kepada mereka nanti,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia