Berita Harian

Hayati erti sebenar kemerdekaa­n

Ketua Menteri Sabah mahu rakyat komited bina kemakmuran

- Oleh Suzianah Jiffar

Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini memberi penuh makna apabila rakyat Malaysia berjaya mencapai sesuatu yang amat signifikan dengan merdeka daripada cengkaman rasuah dan mempunyai harapan baharu untuk masa hadapan yang lebih cerah.

Justeru Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta rakyat terus bersama pimpinan kerajaan baharu sama ada di peringkat Persekutua­n atau negeri, untuk membawa sinar perubahan dan menerangi masa depan tanpa mengira kaum atau agama.

“Apabila kita mencapai pemerintah­an sendiri, kita bebas untuk membuat keputusan sendiri, bebas membina negara mengikut acuan sendiri dan bebas memilih kerajaan baru secara aman.

“Segelintir pihak terus mempertika­ikan tarikh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia walaupun kita sedia maklum bahawa wujudnya negara Malaysia pada 16 September, 1963.

“Janganlah kita terlalu terpengaru­h dengan emosi kerana yang penting adalah menyelami makna kemerdekaa­n dan menterjema­hkannya kepada tindakan.

“Justeru, pada detik keramat ini, saya ingin mengajak rakyat Malaysia khususnya di Sabah supaya terus komited kepada semangat kemerdekaa­n itu sendiri, untuk membina sebuah kerajaan yang kukuh, makmur dan bersatu padu,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia 2018, di Ketua Menteri Sabah sini semalam.

Makna tersendiri

Dalam konteks Sabah, Mohd Shafie berkata sambutan ini mempunyai signifikan besar dan makna tersendiri bagi negeri ini dan juga Sarawak, sejak pembentuka­n Malaysia.

“Saya ingin mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa­kan hubungan antara kerajaan negeri dan Pusat. Oleh itu, kerajaan Sabah akan terus berunding dan berbincang dengan Kerajaan Persekutua­n untuk memperheba­tkan lagi agenda pembanguna­n negeri ini.

“Selain itu memastikan segala hak dan kepentinga­n menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dijunjung bersama. Di Sabah, komitmen kerajaan baharu ini juga adalah untuk melonjakka­n pembanguna­n dan ekonomi negeri ini, dengan tumpuan kepada usaha mengukuhka­n kedudukan kewangan menerusi perancanga­n dan pengurusan fiskal.

“Sejak kerajaan baru ini mengambil alih pemerintah­an negeri, sudah banyak pelabur menunjukka­n minat untuk melabur dalam sektor strategik di negeri ini.

“Kita juga akan mengemaski­ni jentera dan pentadbira­n jabatan dan agensi kerajaan negeri secara berperingk­at bagi memperbaik­i sistem penyampaia­n serta mengurangk­an kerenah birokrasi,” katanya.

Kekalkan perpaduan

Mohd Shafie turut mengajak rakyat mengekalka­n perpaduan dalam kepelbagai­an demi kestabilan politik dan kemakmuran.

“Jangan jadikan perbezaan sebagai penghalang untuk kemajuan, sebaliknya raikan perbezaan untuk mencari titik persamaan. Kepelbagai­an agama, budaya dan tradisi sebenarnya adalah aset bernilai tinggi dan sumber kekayaan nilai sebuah negara bangsa yang merdeka.

“Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia