Berita Harian

Lebih banyak lokasi diwarta kawasan biodiversi­ti marin

-

Lundu: Sarawak bakal mewartakan lebih banyak lokasi berpotensi di perairan negeri ini sebagai kawasan perlindung­an marin seiring dengan komitmen memulihara kepelbagai­an sumber biodiversi­ti dan alam semulajadi.

Ia sebahagian perancanga­n strategik disusun di bawah Pelan Induk Pemulihara­an Pesisir dan Marin Sarawak yang diperkenal­kan Allahyarha­m Tan Sri Adenan Satem ketika menerajui kerajaan negeri sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, sehingga kini sejumlah 1.27 juta hektar kawasan sudah dikenalpas­ti untuk tujuan berkenaan.

Beliau menjelaska­n lokasi terbesar ialah Luconia Shoals atau dikenali sebagai Gugusan Beting Patinggi Ali yang terletak di Perairan Miri di atas Pelantar Benua Sunda dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ).

Ciri-ciri terumbu

Menjelas lanjut, beliau berkata gugusan selatan ‘Luconia’ yang terletak 163 hingga 180 km (87 hingga 96 batu nautika) dari Pantai Sarawak mempunyai ciri-ciri terumbu seperti Hempasan Bentin, Terumbu Balingian, Beting Merpati, Terumbu Sahap, Sierra Blanca dan Terumbu Saji.

Manakala utara Luconia terletak di antara 187 hingga 254 kilometer (100 hingga 136 batu nautika) dari pantai Sarawak mempunyai ciri-ciri terumbu seperti Beting Rentap, Hempasan Dang Ajar, Terumbu Permaisuri, Terumbu Lang Ngindang, Terumbu Asun, Terumbu Datuk Landih, Terumbu Linggir dan Terumbu Litong.

“Gugusan Beting Patinggi Ali sudahpun diwartakan sebagai taman negara marin terbesar di Malaysia sekali gus menjadikan Sarawak sebagai pemilik sah bagi sumber marin di kawasan perairan itu,“katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sistem Solar Berpusat Sarawak Energy di Taman Negara Talang Satang, Sematan, di sini kelmarin.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancanga­n Ekonomi Sarawak mendedahka­n sumber minyak dan gas yang meluas juga terdapat di dasar laut di taman negara marin itu.

Bagaimanap­un, beliau menyatakan pendirian kerajaan negeri untuk tidak melakukan sebarang eksplorasi atau carigali di lokasi terbabit sekalipun ia memiliki potensi ekonomi yang tinggi bagi memenuhi tanggungja­wab memulihara khazanah biodiversi­ti dan alam semulajadi.

“Memadailah dengan kewujudan beberapa platform minyak dan gas PETRONAS yang terletak 25 kilometer dari sempadan Gugusan Beting Patinggi Ali seperti F230-A (16.5 km), F6Q-S (22 km), MI-Q (14.6 km) dan BIIP-A (17.6 km), termasuk sebuah platform yang tidak diselia manusia F14DR-A,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia