Berita Harian

Program NILAM beri pelbagai impak positif

-

Kota Kinabalu: Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dapat memberikan impak yang positif dalam merangsang minda dan meningkatk­an keyakinan diri anak-anak pendidikan khas, terutamany­a Murid Berkeperlu­an Khas (MBK) di negeri ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata program ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu anak-anak pendidikan khas ini mencapai perkembang­an yang menyeluruh.

“Saya yakin program NILAM Pendidikan Khas ini mampu membantu meningkatk­an murid khususnya MBK yang boleh membaca dan menulis.

“Saya berharap program ini diteruskan bagi memastikan anak-anak pendidikan khas ini menjadi individu yang hebat, mampu berdikari serta berguna kepada negara,” katanya ketika merasmikan penutupan Karnival NILAM Pendidikan Khas peringkat negeri di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Pembantuny­a, Jennifer Lasimbang dan Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Umin Sadi serta Pengarah Perpustaka­an Negeri Sabah, Wong Vui Yin.

Jadi medan pertemuan

Dalam pada itu, Yusof berkata, pertanding­an NILAM Pendidikan Khas itu bukan saja dapat melihat keupayaan anak-anak pendidikan khas menerusi penulisan dan pemahaman lisan, namun paling istimewa program ini menjadi medan pertemuan kepada mereka sekali gus berkongsi pengalaman baharu.

Kira-kira 24 peserta anak-anak pendidikan khas membabitka­n 12 sekolah menengah dan 12 sekolah rendah dari seluruh negeri menyertai karnival dua hari yang bermula kelmarin.

Sementara itu, Natalya Natasya Wilson, 13, yang berkerusi roda dan menghidap Spina Bifida sejak lahir dinobatkan sebagai johan Kategori Penilaian NILAM sekolah menengah sempena Karnival NILAM Pendidikan Khas peringkat negeri.

“Ini adalah kali ketiga saya menyertai program NILAM, pertama ketika Tahun Lima dan seterusnya Tahun Enam. Ketika berada di Tahun Enam, saya dinobatkan sebagai johan NILAM kategori sekolah rendah.

“Aspek yang agak mencabar ialah pidato kerana saya terpaksa menghafal karangan yang hendak disampaika­n manakala yang lain seperti ulasan buku, pemahaman dan penulisan, tiada masalah.

“Saya berharap akan dapat lagi menyertai program ini pada tahun depan,” katanya yang juga pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Penampang.

Anak sulung daripada tiga beradik itu juga menyatakan hasrat untuk menjadi chef atau tukang masak dan ahli perniagaan yang berkaitan restoran pada masa hadapan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia