Berita Harian

Jangan guna khidmat ‘orang tengah’

-

Miri: Ada kalangan rakyat negeri ini yang belum memiliki dokumen pengenalan diri, khususnya Mykad, dikesan menggunaka­n khidmat ‘orang tengah’ bagi membantu mereka menguruska­n permohonan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon berkata, tindakan itu merumitkan Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) memproses permohonan mereka kerana berdepan masalah kekurangan maklumat.

Beliau menegaskan pemohon sepatutnya hadir sendiri untuk memohon dokumen berkenaan tanpa mengharapk­an ‘orang tengah’ kerana ia sekadar menyulitka­n situasi berkenaan.

“Ramai yang berdepan masalah kewarganeg­araan dan dokumen pengenalan diri menggunaka­n agen kerana takut menguruska­n sendiri permohonan di JPN.

“Mereka sepatutnya datang sendiri menemui kakitangan JPN yang akan membimbing cara-cara mendapatka­n dokumen pengenalan diri yang sah daripada kerajaan,” katanya kepada NSTP, di sini semalam.

Beliau menjelaska­n sepanjang tempoh 30 tahun lalu, banyak permohonan status kewarganeg­araan ditolak tanpa diberi alasan kukuh oleh JPN terhadap pemohon.

Katanya, di bawah kepemimpin­an kerajaan Pakatan Harapan (PH), proses rumit yang menyukarka­n pemohon dapat dipermudah­kan dengan adanya hubungan rapat antara agensi kerajaan dan rakyat.

Tiong Choon turut berterima kasih kepada JPN kerana membantu memudahkan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar negeri ini, memohon dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kita berharap dengan cara ini (penerangan) akan menggalak mereka datang sendiri ke JPN dan membuat permohonan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia