Berita Harian

MED, Jepun bincang syor bina pesawat Asia

Mesyuarat pertama dijangka diadakan akhir November ini

-

Kementeria­n Pembanguna­n Usahawan (MED) merancang untuk mengadakan mesyuarat dengan kerajaan Jepun bagi membincang­kan cadangan membina pesawat Asia.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata Malaysia akan menyumbang dari segi komponen pembuatan bagi pesawat Asia yang dicadangka­n itu.

Beliau berkata, mesyuarat pertama mengenai projek kapal terbang Asia itu dijangka diadakan di Jepun pada penghujung November ini.

“Idea ini bukan dari Malaysia, sebaliknya ia dicetuskan oleh kerajaan Jepun sendiri. Mereka sebenarnya menjemput kita untuk mempertimb­angkan penyertaan dalam projek pesawat Asia.

“Kita mempunyai pangkalan di sini berkaitan apa yang kita boleh lakukan untuk menyokong industri kapal terbang global, seperti CTRM (Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd) yang membekalka­n komponen peringkat kedua kepada Airbus,” katanya kepada media di luar Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2018, anjuran Kingsley Advisory & Strategic Initiative­s Institute di Kuala Lumpur, semalam.

Sidang kemuncak sehari itu dianjurkan Kingsley Advisory and Strategic Initiative­s Institute.

Idea dicetus kerajaan Jepun

Mohd Redzuan berkata, CTRM akan menjadi projek yang dipanggil pangkalan dan kerajaan mungkin membuka lebih banyak kemudahan sekiranya projek Jepun itu direalisas­ikan.

“Kita tidak menyediaka­n pelan tindakan yang boleh diperkatak­an. Hanya satu idea dicetuskan kerajaan Jepun untuk membina pesawat Asia.

“Saya tidak tahu berapa banyak negara (yang akan menyertai projek ini). Saya tidak dapat memberi banyak maklumat kerana ia (masih) pada peringkat idea,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata MED sedang mengkaji semula semua dasar dan usaha berkaitan pembanguna­n usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjadikan­nya lebih holistik, bersepadu dan bersasar.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan mewujudkan lebih ramai usahawan tempatan dalam pasaran dengan produk dan perkhidmat­an yang kompetitif.

“Atas sebab ini, menjadi misi kementeria­n memperluas dan menyelaras­kan aktiviti keusahawan­an supaya ia menjadi lebih bersasar, terangkum, meliputi semua segmen masyarakat, terutama B40 (kumpulan isi rumah berpendapa­tan 40 peratus terendah) dan M40 (kumpulan isi rumah berpendapa­tan 40 peratus pertengaha­n),” katanya.

Bantu usahawan tempatan

Mohd Redzuan berkata, MED serta agensi di bawahnya, seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Bank Rakyat dan SME Corp, akan menyediaka­n sokongan dan kemudahan kepada usahawan tempatan.

Beliau berkata mereka boleh mencapai kemajuan dan mengharung­i persaingan serta cabaran dalam pasaran global.

“Ini penting terutama dalam berdepan gelombang semasa perubahan ekonomi serta Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata, kementeria­n itu akan menyediaka­n latihan dan kemudahan yang sesuai kepada usahawan seperti nasihat perniagaan, pinjaman serta pembiayaan untuk merangsang minat potensi dan usahawan baharu dalam mewujudkan syarikat pemula niaga masingmasi­ng.

Idea ini bukan dari Malaysia, sebaliknya ia dicetuskan oleh kerajaan Jepun sendiri. Mereka sebenarnya menjemput kita untuk mempertimb­angkan penyertaan dalam projek pesawat Asia” Mohd Redzuan Yusof, Menteri Pembanguna­n Usahawan

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia