Berita Harian

APM, bomba sedia hadapi tengkujuh

1,000 anggota dilatih berdepan bencana, kerjasama pelbagai agensi dipertingk­at

- Oleh Norasikin Daineh

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sudah bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh berikutan peralihan musim ke Monsun Timur Laut yang dijangka bermula tidak lama lagi.

Bagi APM, persiapan agensi itu termasuk mengadakan siri latihan mengendali­kan bot yang dilakukan baru-baru ini, selain menyenarai­kan seramai 1,000 anggota untuk dikerahkan memberi bantuan sekiranya berlaku banjir atau bencana lain disebabkan tengkujuh.

Latihan kendali bot

Pengarah APM Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar, berkata pihaknya sudah bersiap sedia untuk menghadapi bencana itu yang bisanya berlaku pada hujung tahun di semua lokasi berisiko di negeri ini.

“Kita juga banyak mengadakan siri latihan ketika ini antaranya latihan pengendali­an bot selama tiga hari yang dilakukan di Kota Kinabalu baru-baru ini. Kita juga menyediaka­n sebanyak 20 unit bot getah dan aluminium untuk menghadapi musim banjir nanti.

“Selain itu, seramai 1,000 anggota dan pegawai APM akan dikerahkan ke kawasan yang sering dilanda banjir seperti Kota Belud dan Beaufort jika bencana itu melanda. Sekiranya kita memerlukan tenaga yang lebih, kita akan buat penambahan,” katanya kepada NSTP.

Menurut Kamal, selain dilengkapi logistik, pihaknya turut meletakkan anggota di pusat kawalan 999 yang dibuka 24 jam bagi menghadapi musim banjir kali ini.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzam­an Malik Abdullah, berkata pihaknya turut mengambil langkah sama dengan memastikan pasukan di semua balai bomba sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkina­n termasuk musim banjir di negeri ini.

“Kita sudah bersiap sedia mengikut jangkaan berdasarka­n laporan kaji cuaca yang dikeluarka­n Jabatan Meteorolog­i Malaysia (Metmalaysi­a). Walaupun cuaca hujan pada masa ini normal tetapi kita sudah melaksanak­an pelbagai persediaan.

“Antaranya melakukan pemeriksaa­n terhadap aset dan memastikan kerjasama dengan pelbagai agensi keselamata­n lain atau pihak berkaitan seperti APM, hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat ditingkatk­an,” katanya.

 ?? [ FOTO IHSAN APM.] ?? Anggota APM dan bomba menjalani latihan pengendali­an bot sebagai persediaan menghadapi banjir di Sabah.
[ FOTO IHSAN APM.] Anggota APM dan bomba menjalani latihan pengendali­an bot sebagai persediaan menghadapi banjir di Sabah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia