Berita Harian

Masalah penduduk Bukit Punai diarah pindah dapat perhatian

Timbalan Ketua Menteri minta DBKK beri lebih masa untuk cari rumah baharu

- Oleh Avila Geraldine avila@nstp.com.my

Seramai 40 keluarga yang tinggal di Bukit Punai di sini, buntu selepas Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluark­an notis akhir memerintah­kan penduduk merobohkan rumah setinggan mereka dan berpindah dalam tempoh sebulan.

Penduduk Bukit Punai sudah beberapa kali diberikan notis pengusiran, namun masih belum berbuat demikian walaupun selepas notis pertama yang difahamkan dikeluarka­n kira-kira 10 tahun yang lalu.

Sebelum ini, DBKK terpaksa membenarka­n mereka tinggal di kawasan setinggan itu atas dasar kemanusiaa­n berikutan ramai penduduk terbabit merayu dilanjutka­n masa kerana masih belum mempunyai tempat tinggal.

Hasil pemantauan NSTP, kebanyakan penduduk yang menghuni di kawasan berkenaan berasal dari Kudat, Kota Marudu dan daerah pedalaman lain.

Mereka dikatakan berpindah ke ibu negeri beberapa tahun lalu dan sejak itu tinggal di Bukit Punai dengan membina rumah secara tidak sah di atas tapak tanah milik kerajaan berkenaan.

Masalah penduduk itu bagaimanap­un mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-api, Datuk Christina Liew yang hadir ke tapak berkenaan, semalam, untuk mendengar rintihan rakyat berhubung notis terkini yang dikeluarka­n DBKK itu.

Liew berkata, beliau akan bertemu dengan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai bagi membincang­kan nasib dan permintaan mereka untuk sekali lagi diberi masa mencari rumah baru.

“Saya juga akan membawa perkara ini kepada Kementeria­n Kerajaan Tempatan dan Perumahan untuk melihat sama ada terdapat kekosongan rumah kos rendah untuk penduduk Bukit Punai. Sekiranya ada, kita akan memberi mereka senarai nama.

Beri ruang, masa kepada penduduk

“Saya difahamkan kawasan ini (Bukit Punai) dimiliki oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijaga oleh DBKK. Oleh itu, saya berharap pihak DBKK dan JKR dapat memberi ruang dan masa kepada penduduk yang terbabit,” katanya sambil memberi nasihat kepada penduduk untuk membersihk­an kawasan mereka.

Mengenai bangunan lama yang dibina sejak zaman penjajah British di Bukit Punai, Liew yang juga Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, beliau akan meminta Jabatan Muzium untuk menilai bangunan itu bagi mengenal pasti nilai sejarahnya.

“Kita akan memberi perhatian. Sekiranya ada nilai, maka pihak muzium perlu mengambil alih. Mereka yang tinggal di bangunan ini perlu bekerjasam­a dan mengosongk­annya,” katanya.

Difahamkan bangunan lama berstruktu­r kayu itu adalah bekas pejabat gabenor British dan ketika ini menjadi tempat perlindung­an bagi tujuh keluarga.

Sementara itu, seorang penduduk Samson Baragangon, 46, dari Kota Marudu berkata beliau tinggal di bangunan kolonial sejak beberapa tahun lalu bersama keluargany­a.

“Saya datang ke sini pada 1993 dan ketika itu bekerja sebagai tukang masak. Kawasan ini dahulunya digunakan sebagai perumahan pekerja hospital.

Samson berkata, dia sudah menerima tujuh notis berpindah daripada DBKK sebelum ini, namun tidak berpindah kerana gagal mendapatka­n rumah kos rendah walaupun sudah beberapa kali memohon.

Menurut notis akhir bertarikh 2 Oktober itu, penduduk yang terbabit diarahkan supaya merobohkan dan membuang struktur rumah setinggan yang dibina mengikut Undang-undang DBKK 1951.

Penduduk diberi tempoh selama 30 hari daripada tarikh penerimaan surat dan sekiranya gagal, pihak DBKK akan merobohkan dan membuang struktur rumah dengan kos terpaksa ditanggung oleh penduduk sendiri.

 ?? [ FOTO MALAI ROSMAH TUAH./ BH ] ?? Liew (kanan) berbincang bersama penduduk ketika mengadakan lawatan ke Kampung Bukit Punai, Kota Kinabalu.
[ FOTO MALAI ROSMAH TUAH./ BH ] Liew (kanan) berbincang bersama penduduk ketika mengadakan lawatan ke Kampung Bukit Punai, Kota Kinabalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia