Harian Metro

Anggota polis peronda nafi terima suapan RM1,300

-

Alor Setar: Seorang anggota peronda lebuh raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,300 dua tahun lalu.

Koperal Mohamad Sukeri Othman, 35, yang bertugas di Pejabat Peronda Lebuhraya Zon Utara (Bandar Baharu-Changkat Jering) membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapny­a dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersetuju menerima rasuah daripada seorang lelaki dikenali sebagai V Tamil Vanan di sebuah kedai runcit di Pekan Lama Lubok Buntar, Serdang, Bandar Baharu dekat Kulim pada jam 10.09 pagi, 9 November 2014.

Tertuduh yang berasal dari Sungai Petani didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Tamil Vanan kerana disyaki membawa arak yang tidak dibayar cukai menggunaka­n sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a), Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Perak Nurul Wahida Jalaluddin yang mengendali­kan kes itu memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain memohon kes berkenaan dipindahka­n ke Mahkamah Sesyen Khas SPRM Ipoh kerana tertuduh turut berdepan satu lagi tuduhan kes rasuah pada 7 November 2014.

Zanol Rashid bersetuju dengan permohonan itu dan mengarahka­n tertuduh hadir ke Mahkamah Sesyen Khas SPRM Ipoh bagi menetapkan jaminan serta sebutan semula kes berkenaan pada jam 9 pagi ini.

Khamis lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh terhadap tuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,200 daripada individu sama bagi tujuan sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada jam 1.50 tengah hari, 7 November 2014.

 ??  ?? MOHAMAD Sukeri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, semalam.
MOHAMAD Sukeri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia