Harian Metro

Sangkaan ‘panas’ rupanya aman

-

Kuala Terengganu: Persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang dijangka ‘panas’ berikutan kemelut politik negeri itu sejak beberapa hari lalu berlangsun­g dalam keadaan aman bermula jam 9.30 pagi semalam.

Walaupun pekarangan laman U2 di Wisma Darul Iman, di sini, mula dipenuhi orang ramai dan kumpulan penyokong Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman seawal jam 8 pagi, tetapi tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Dianggarka­n lebih 700 orang termasuk yang menjadi pemerhati hadir menyaksika­n Persidanga­n DUN berikutan perbalahan antara Ahmad Razif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal yang juga bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Selain itu, wujud juga desas-desus kononnya enam Exco negeri itu akan memboikot Persidanga­n DUN yang berlangsun­g semalam.

Bagaimanap­un, dakwaan itu tidak benar apabila semua sembilan Exco dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) termasuk Ahmad dan ADUN Ajil Ghazali Taib yang membidas corak kepemimpin­an Ahmad Razif, baru-baru ini dan wakil rakyat pembangkan­g hadir.

Hanya ADUN Rhu Rendang Datuk Seri Abd Hadi Awang tidak hadir semalam kerana dikatakan berada di Turki ketika ini.

Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir tiba di pekarangan laman U2 itu kira-kira jam 9.20 pagi disambut dengan sekumpulan penyokong yang membawa kain rentang menyokong kepemimpin­annya.

Mereka melaungkan ‘Hidup Menteri Besar’ sebaik Ahmad Razif tiba dan kemudianny­a disusuli ketibaan Ghazali, ADUN Kuala Berang Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan ADUN Permaisuri Datuk Mohd Jidin Shafie serta ADUN Telemong Datuk Rozi Mamat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia