Harian Metro

Tunaikan sendiri nazar atau boleh upah orang lain

-

Kesan terhadap nazar yang sahih

Apabila nazar itu sah iaitu cukup syarat, orang bernazar wajib melaksanak­an apa yang diwajibkan ke atas dirinya (apabila berlaku perkara dikehendak­inya). Hukum ini adalah bagi nazar yang dikaitkan dengan tercapainy­a sesuatu kehendak.

Bagi nazar mutlak, dia bebas melaksanak­annya secara mutlak (bila-bila masa).

Dia wajib melakukan apa yang dikaitkan dengan nama syarak sama ada yang dinazarkan itu solat atau puasa, sedekah dan sebagainya.

Jika dia bernazar untuk menunaikan solat dan tidak dikaitkan dengan cara atau bilangan tertentu, maka dia wajib melakukan solat dua rakaat dalam keadaan berdiri, sekiranya dia mampu berdiri. Hal ini berdasarka­n kewajipan paling minimum dalam hukum syarak.

Sekiranya dia bernazar untuk menunaikan solat beberapa rakaat atau bernazar untuk solat sambil duduk, maka wajib dia melakukan kadar dan cara yang sudah ditetapkan­nya. Namun, jika dia menunaikan­nya dalam keadaan berdiri, itu lebih afdal (utama).

Jika dia bernazar untuk berpuasa secara mutlak (hanya bernazar untuk berpuasa tanpa dikaitkan dengan perkara lain), maka yang paling minimum wajib ke atasnya ialah puasa sehari.

Namun, jika bernazar untuk berpuasa selama beberapa hari tanpa menentukan bilangan hari, maka yang paling minimum kewajipan ke atasnya ialah puasa tiga hari kerana ia adalah had mininum jamak.

Jika dia bernazar untuk bersedekah, maka dia wajib bersedekah kepada orang yang boleh menerima zakat seperti orang fakir dan miskin menggunaka­n barang miliknya yang paling rendah nilainya.

Sekiranya ibadat diwajibkan ke atas dirinya itu dikaitkan dengan keadaan, masa atau bilangan tertentu, maka pada prinsipnya dalam keadaan ini wajiblah dia melakukan kewajipan berkenaan mengikut cara dan keadaan yang sudah ditentukan­nya.

Jika dia bernazar untuk bersedekah kepada penduduk negeri tertentu, dia wajib bersedekah kepada mereka yang ditentukan dan dia tidak boleh mengalihka­n sedekahnya kepada penduduk negeri lain.

Sekiranya dia bernazar untuk beriktikaf di masjid tertentu dan ia adalah satu daripada masjid yang tiga iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa, maka dia wajib beriktikaf di masjid yang sudah ditentukan­nya itu.

Hal ini kerana kelebihan dan kemuliaan masjid berkenaan melebihi masjid lain. Sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Jangan bersusah payah untuk perjalanan jauh melainkan ke tiga masjid, Masjidil Haram, Masjid ar-Rasul SAW (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sekiranya dalam nazarnya ditentukan masjid selain ketiga-tiga masjid berkenaan, maka dia wajib beriktikaf di mana-mana masjid dikehendak­inya kerana pahala iktikaf tiada beza antara mana-mana negeri dan masjid.

Jika dia bernazar untuk melakukan haji ataupun umrah, maka dia wajib melakukann­ya sendiri.

Ini jika dia mampu melakukann­ya. Jika tidak mampu melakukann­ya sendiri, hendaklah diwakilkan orang lain melakukan haji atau umrah untuk dirinya dengan cara mengupah.

Hukum ini sama dengan kewajipan melakukan haji yang wajib. Apabila dia tidak mampu melakukann­ya sendiri, maka dia boleh mewakilkan orang lain bagi pihak dirinya.

- Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia