Tumpahan minyak masuk perairan Singapura
Johor Bahru: Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan siasatan berhubung tumpahan minyak membabitkan pertembungan dua kapal kontena di Pelabuhan Johor, malam kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata pemantauan JAS mendapati kebanyakan tumpahan minyak itu memasuki kawasan perairan Singapura.
“Laporan diterima mendapati Pulau Ubin di Singapura menerima impak tumpahan minyak terbabit, selain siasatan dilakukan terhadap kejadian itu,” katanya dalam kenyataan berhubung insiden pertembungan dua kapal berkenaan semalam.
Ayub berkata, dalam kejadian itu dua kapal kontena iaitu APL DENVER dan WAN HAI bertembung di kawasan pelabuhan dan akibat pelanggaran berlaku tumpahan minyak dari tangki kapal APL DENVER.
“Malah, laporan kemalangan itu jam 11.30 malam berlaku di depan Water Front Wharf Nombor 5 Pelabuhan Johor,” katanya.
Beliau berkata, kapal WAN HAI dilaporkan mengalami kerosakan pada bekalan kuasa menyebabkan ia tidak dapat dikawal dan akhirnya melanggar APL DENVER.
Sementara itu, pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) melaporkan kejadian itu dimaklumkan Lembaga Pelabuhan Johor (JPA) membabitkan perlanggaran antara kapal kontena WAN HAI 301 yang berdaftar di Singapura dan kapal kontena APL DENVER berdaftar di Gibraltar dalam kejadian itu.
Pengendali kapal APL DENVER melaporkan, salah satu tangki mengalami kerosakan menyebabkan berlaku tumpahan 300 tan minyak.
JPA menggunakan empat kapal anti-pencemaran bagi mengawal tumpahan minyak di sekitar APL DENVER.
Di Singapura, beberapa tompok minyak ditemui dan tumpahan itu di sebelah barat Pulau Ubin dan difahamkan MPA mengaktifkan lapan kraf antipencemaran dengan keupayaan semburan cecair untuk membersihkan minyak.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kesesakan dilaporkan di Selat Johor dan operasi pelabuhan Singapura tidak terjejas.