Skuad olahraga hadapi dilema venue latihan baharu
Kuala Lumpur: Skuad olahraga negara kini berada dalam dilema apabila perlu beralih tempat latihan selepas trek latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) ditutup berkuat kuasa semalam bagi tujuan menambah baik trek sedia ada.
Ketika ini, dua lokasi berada dalam senarai Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) iaitu di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan padang Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Bagaimanapun, menurut Pengurus Pasukan olahraga ke Sukan SEA Datuk Salim Parlan berkata, barisan jawatankuasa kini sedang menilai lokasi latihan terbaik untuk atlet negara berlatih agar persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur tidak terjejas.
“Saya sedang berbincang dengan jurulatih berhubung perkara ini. Sekarang ini ada dua lokasi iaitu di padang Uniten dan SSTMI.
“Jika atlet ke SSTMI ia agak sukar kerana ia sudah padat dengan atlet yang memang menjalani latihan di sana berikutan sesi persekolahan sudah bermula.
“Padang Uniten dilihat paling sesuai namun terdapat juga beberapa masalah yang perlu dipertimbangkan berhubung dengan peralatan yang akan digunakan,” katanya.
Namun, perkara itu bukanlah satu masalah besar dengan Salim berkata satu mesyuarat jawatankuasa kerja akan diadakan bagi membincangkan masalah berbangkit dalam masa terdekat.
Beliau yang ditemui di padang latihan MSN semalam berkata, antara yang akan turut dibincangkan dalam mesyuarat JKK itu nanti adalah sesi latihan atlet negara ke Australia.
Mengulas mengenai pemergian atlet negara ke Australia yang berada dalam program Kita Juara, Salim berkata ia dalam proses fasa perbincangan dan akan diputuskan dalam sedikit masa lagi.