Harian Metro

Duka silih berganti

- Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi am@hmetro.com.my

„ Pelajar tunggu SPM maut sebulan selepas bapa meninggal

“Kemalangan yang meragut nyawa Hafeez sangat mengejutka­n, apatah lagi kami masih bersedih selepas kematian suami awal Disember lalu akibat penyakit kencing manis dan angin ahmar,” kata Fauziah Abdul Rahman, 43.

Fauziah adalah ibu kepada Mohamad Hafeez Mohd Jais, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang, di sini, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Batu 7, Kuala Kurau, di sini jam 6.20 pagi, semalam.

Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika Hafeez yang menunggang motosikal Honda Wave menghantar adik perempuann­ya, Nurul Hafiza, 16, yang membonceng motosikal menuju ke simpang masuk ke Kampung Parit Tok Kip untuk menaiki bas sekolah di situ.

Kejadian turut menyebabka­n Nurul Hafiza cedera parah di beberapa anggota badan.

Menurut Fauziah, sebelum keluar dari rumah,wajah anak lelaki sulungnya yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu tidak ceria.

“Sehari sebelum kejadian, arwah yang tidak pernah bermain bola sepak pergi mengikut beberapa rakannya bermain di sebuah padang di sini.

“Pada hari kejadian sebelum menghantar adiknya, riak wajahnya berbeza dan saya sangkakan dia mungkin bersedih dengan kematian bapa yang meninggal dunia pada 2 Disember lalu,” katanya.

Fauziah berkata, arwah seorang anak yang baik dan bertanggun­gjawab, malah sanggup bekerja sambilan di kampung sementara menunggu keputusan SPM.

“Tugas menghantar dua adik yang masih bersekolah dan menyara keluarga dipikul Hafeez,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superinten­dan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa yang menunggang motosikal datang dari simpang kampung membelok ke kiri jalan arah Kuala Kurau untuk melintas jalan.

Menurutnya, sewaktu melintas, sebuah kereta yang dipandu seorang pekerja kilang wanita berusia 24 tahun dikatakan tidak sempat mengelak dan merempuh motosikal mangsa secara berhadapan dan menyeret motosikal berkenaan bertentang­an jalan.

“Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala adiknya patah tulang bahu kanan serta beberapa kecederaan lain dirawat di Hospital Parit Buntar,” katanya.

 ??  ?? PEMANDU wanita trauma dan tergamam sejurus merempuh mangsa. MOHAMAD Hafeez maut di tempat kejadian akibat cedera parah. MOHAMAD Hafeez
PEMANDU wanita trauma dan tergamam sejurus merempuh mangsa. MOHAMAD Hafeez maut di tempat kejadian akibat cedera parah. MOHAMAD Hafeez

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia