Harian Metro

Cekup terus dakwa

- Siti A'isyah Sukaimi sitiaisyah@hmetro.com.my

„ JPJ ambil tindakan tegas terhadap tujuh kesalahan utama pengguna jalan raya

Tiada lagi saman, terus dakwa ke mahkamah. Itu tindakan bakal dikenakan kepada pengguna yang melakukan tujuh kesalahan utama sepanjang operasi penguatkua­saan sempena Tahun Baru Cina bermula 21 Januari hingga 5 Februari.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron berkata, sebelum ini, pendakwaan terhadap pesalah jalan raya hanya membabitka­n mereka yang memandu di lorong kecemasan.

“Namun, enam lagi kesalahan utama juga akan didakwa di mahkamah jika memotong garisan berkembar, memotong barisan, menggunaka­n telefon bimbit (memandu secara berbahaya), tidak memakai topi keledar serta tidak memakai tali pinggang keledar.

“Menerusi langkah ini, pesalah akan disaman dan tidak lagi dikenakan kompaun tetapi berdepan denda maksimum RM2,000 selepas disabitkan kesalahan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bagaimanap­un, Nadzri berkata, pihaknya akan mengenal pasti maklum balas yang diterima berhubung tindakan itu sama ada ia diteruskan selepas Tahun Baru Cina atau sebaliknya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut memberi tumpuan kepada tujuh lokasi kerap berlaku kemalangan pada operasi penguatkua­saan Tahun Baru Cina dengan menggunaka­n kamera keselamata­n mudah alih bagi mengesan pemandu yang memandu melebihi had laju.

“Lokasi ini membabitka­n KM151.4 Lebuhraya PLUS (Pagoh) arah utara, KM145.2 Lebuhraya PLUS (Pagoh) arah selatan, KM255.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 arah timur dan KM288.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 arah utara.

“Selain itu, KM299.9 Lebuhraya PLUS (Kampar) arah utara, KM95 Lebuhraya PLUS (Kuala Muda) arah selatan dan KM17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kenderaan berat turut dilarang menggunaka­n jalan raya pada 26, 27 dan 31 Januari serta 1 Februari melainkan lori tangki minyak dan yang membawa makanan.

“Pemeriksaa­n teknikal bas akan dibuat di semua 77 depoh dan 28 terminal utama seluruh negara bermula 21 Januari hingga 5 Februari bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan berkaitan pemandu kedua, buku log dan pemanduan melebihi lapan jam dalam tempoh 24 jam.

“Pemeriksaa­n bas ini tidak dibuat secara rawak tetapi semua akan melaluinya dan JPJ turut bekerjasam­a dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Narkotik dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menjalanka­n ujian air kencing bagi mengesan pemandu mengambil dadah,” katanya.

Nadzri berkata, pegawai JPJ turut ditempatka­n di empat lokasi iaitu dua di selatan dan dua di utara yang akan menahan bas ekspres untuk melalui pemeriksaa­n serta dipilih secara rawak.

Bagi kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres, Nadzri berkata, tindakan saman tidak lagi dibuat selepas tiba ke destinasi kerana langkah berkenaan disifatkan lambat.

“Pegawai JPJ terbabit akan menyaman pemandu di dalam bas berkenaan dengan memintanya berhenti terlebih dahulu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan penyamaran ini bagi mengesan mereka yang melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ops Khas Motosikal turut diadakan secara serentak di seluruh negara pada 25 dan 27 Januari sebelum perayaan Tahun Baru Cina serta 1 dan 4 Februari selepas perayaan.

 ?? Nadzri Siron ?? Menerusi langkah ini, pesalah akan disaman dan tidak lagi dikenakan kompaun tetapi berdepan denda maksimum RM2,000 jika disabitkan kesalahan”
Nadzri Siron Menerusi langkah ini, pesalah akan disaman dan tidak lagi dikenakan kompaun tetapi berdepan denda maksimum RM2,000 jika disabitkan kesalahan”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia