Harian Metro

Air mata kecewa Jin Wei

„ Cabaran bekas juara dunia remaja berakhir selepas kecundang di tangan Chia Hsin

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

Tangisan air mata mengakhiri cabaran pemain perseorang­an wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei (gambar) di kejohanan badminton Masters Malaysia apabila terkandas di pusingan kedua selepas tumpas kepada Lee Chia Hsin dari Taiwan di Stadium Tertutup Sibu semalam.

Jin Wei yang sebelum ini meninggalk­an kenangan manis di Sibu apabila meraih emas Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016, gagal mengulangi pencapaian berkenaan apabila tumpas straight set 12-21, 10-21 dan menjadikan kecederaan buku lali kaki kiri sebagai alasan.

“Sebelum turun beraksi memang saya ada sedikit sakit. Tapi selepas mengambil ubat penahan sakit serta meletakkan ais di buku lali, keadaan tetap sama. Bagaimanap­un, saya masih boleh menerima kekalahan ini kerana ia disebabkan kecederaan dan berharap sembuh secepat sebelum Kejohanan Berpasukan Campuran Asia bulan depan,” katanya.

Jelasnya, kesakitan sudah mula dirasai sejak aksi pusingan pertama ketika menentang Sri Krishna Priya Kudaravall­i kelmarin namun selepas mendapat nasihat jurulatih, Rony Agustinus, dia tidak mahu menarik diri begitu saja atas semangat kesukanan.

“Kalah tidak mengapa tapi jangan tarik diri sebelum perlawanan tamat. Saya juga tidak memberikan persembaha­n 100 peratus kerana akan memberikan kesan teruk terhadap kecederaan.

“Kejohanan selepas ini sangat penting dan saya mempunyai tempoh sebulan untuk sembuh serta membuat persediaan,” kata juara remaja dunia 2015 itu.

Nasib sama turut menimpa Soniia Cheah Su Ya apabila kalah kepada pilihan kelapan Fitriani Fitriani dari Indonesia 16-21, 17-21, manakala Lim Yin Fun kecundang di tangan pemain Hong Kong Cheung Ngan Yi 13-21, 11-21.

Sementara itu, Lee Ying Ying mencapai sasaran mara ke suku akhir apabila menumpaska­n pilihan keempat dari Taiwan Hsu Ya Ching 21-8, 21-8 dan bakal berdepan pilihan kelima Yip Pui Yin, hari ini.

Dalam aksi beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo mara ke suku akhir apabila mengalahka­n Ng Tsz Yau-Yeung Nga Ting dari Hong Kong, 21-9, 21-9 dan akan berentap dengan pilihan utama Jongkolpha­n Kititharak­ul-Rawinda Prajongjai dari Thailand hari ini.

Turut mara pilihan keempat Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen yang menumpaska­n rakan senegara, Amelia Alicia Anscelly-Teoh Mei Xing 21-12, 21-11.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia