Harian Metro

‘Toyol’ masjid kantoi

„ Enam lelaki aktif curi wang tabung derma dicekup

- Fuad Hadinata Yaacob hadinata@hmetro.com.my

Taktik licik geng curi duit tabung masjid menggunaka­n dawai penyangkut baju yang diletakkan gam di bahagian hujungnya ‘berkubur’ selepas mereka ditahan polis Isnin lalu.

Semua lelaki berusia antara 25 hingga 32 tahun itu ditahan pasukan ‘Task Force’ Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di kawasan Sri Muda.

Dua daripada enam suspek adalah lelaki yang menjadi tular di media sosial 30 Disember lalu selepas mencuri wang tabung derma Masjid Al Ubudiah, Seksyen 19.

Kumpulan yang aktif melakukan jenayah curi tabung derma masjid sejak dua bulan lalu itu tumpas selepas seorang daripada mereka ditahan polis 16 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan ahli jawatankua­sa Masjid Munawarah Seksyen 27, jam 4.30 petang Isnin lalu ketika mencuri tabung derma masjid berkenaan.

Beliau berkata, sejumlah RM62 iaitu wang tabung masjid dan sebuah motosikal Yamaha LC yang digunakan suspek dirampas, malah suspek turut mengaku mencuri wang tabung di tujuh masjid sekitar Shah Alam bersama dua rakan lain yang masih bebas.

“Berdasarka­n maklumat diperoleh pasukan ‘Task Force’ melakukan empat serbuan di kawasan Sri Muda dan menahan enam individu dipercayai anggota kumpulan itu.

“Polis merampas sebuah Proton Wira dan dua motosikal yang digunakan untuk melakukan jenayah itu, dua dawai penyangkut baju dan dua pemutar skru daripada mereka,” katanya.

 ??  ?? KENDERAAN dan peralatan yang dirampas.
KENDERAAN dan peralatan yang dirampas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia