Harian Metro

Izzuddin, Sze Fei pamer belang

-

Sibu: Ketiadaan beregu lelaki utama negara digunakan sebaik mungkin buat naib juara Grand Prix (Akhir) Sirkit Kebangsaan 2016, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei untuk membuktika­n mereka layak diberi sanjungan selepas mara ke suku akhir Masters Malaysia semalam.

Pasangan berumur 20 tahun itu yang menghuni ranking ke-60 dunia, tidak berdepan masalah menceriaka­n peminat tempatan apabila menumpaska­n pemain Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han 13-21, 21-12, 21-13 di Stadium Tertutup Sibu.

“Tidak sangka dapat ke suku akhir. Bagaimanap­un kami bermula dengan perlahan hari ini (semalam) seperti semalam (kelmarin). Kami tidak mendapat rentak permainan terutama berkaitan kelajuan dan penggilira­n di dalam gelanggang. Pada set kedua baru kami mendapat rentak dan untuk bermain baik,” kata Izzuddin.

Bagi Sze Fei pula nasihat jurulatih, Cheah Soon Kit menjadi azimat buat mereka mengulangi pencapaian seperti pusingan pertama kelmarin apabila mengejutka­n pilihan ketujuh dari Hong Kong Or Chin Chung-Tang Chun Man.

“Beliau berpesan supaya jangan banyak berfikir di gelanggang, bila sudah bersedia terus saja mara ke depan dan selepas itu baru permainan kami boleh berjalan lancar,” kata pemain kelahiran Negeri Sembilan itu.

Izzuddin-Sze Fei yang pernah muncul juara Siri Antarabang­sa Singapura dan Terbuka Switzerlan­d tahun lalu, bakal berdepan Mak Hee Chun-Tam Chun Hei dari Hong Kong untuk cuba mencari tempat ke separuh akhir.

“Peluang kami 50-50 kerana tidak pernah bertemu mereka. Esok (hari ini) bergantung kepada prestasi kami dan cara permainan jika berjaya mendapat rentak cepat mungkin ia lebih mudah,” kata Izzuddin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia