Harian Metro

Nekad tikam 3 polis

„ Lelaki miliki rekod jenayah lari tinggal isteri elak uji urin

- Azma Razana Johari am@hmetro.com.my

Seorang lelaki yang memiliki rekod berkaitan kes rogol serta dua kes lain nekad menikam tiga anggota polis termasuk seorang pegawai berpangkat inspektor yang mahu membuat ujian saringan air kencing dalam kejadian di sebuah kedai permainan komputer di Jalan Pasar, di sini, malam kelmarin.

Malah, lelaki berkenaan sanggup meninggalk­an isterinya di tempat kejadian sebelum ujian air kencing mendapati wanita berkenaan positif dadah dan turut memiliki motosikal curi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam, mangsa yang cedera adalah Ketua Polis Balai Bukit Mertajam, Inspektor M Ganesh, 56, yang cedera di tangan kanan manakala Konstabel Mohamad Khusairi Ahamad, 22, ditikam di paha dan Konstabel P Viveganant­han, 26, cedera di tangan kanan ketika bergelut mahu menahan suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika kejadian, dua lelaki dan seorang wanita dilihat dalam keadaan mencurigak­an sebelum dihampiri sepasukan polis yang membuat rondaan hujung minggu.

“Mangsa bersama tiga anggota memperkena­lkan diri sebagai polis dan meminta semua mereka menunjukka­n pengenalan diri untuk diperiksa.

“Ketika mangsa meminta semua yang ditahan menjalani ujian saringan air kencing, seorang lelaki berkenaan cuba melarikan diri namun sempat dihalang dan berlaku pergelutan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, bagaimanap­un, lelaki berusia 30 tahun itu mengeluark­an pisau yang diselitkan di pinggangny­a sebelum cuba menikam leher Ganesh.

“Mangsa cuba mengelak namun terkena tangan kanannya. Dua lagi anggota yang cuba membantu turut cedera pada tangan dan paha kanan sebelum suspek melarikan diri.

“Suspek naik ke tingkat atas premis dan dipercayai melarikan diri melalui bumbung bangunan, malah kami mendapatka­n kerjasama bomba untuk mengesanny­a selama dua jam, tetapi gagal,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek yang berasal dari Kubang Semang, di sini, mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes rogol dan anggota polis turut memburu suspek di rumahnya, tetapi gagal menemui lelaki berkenaan.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) serta Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang di Bandar Perda dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

 ??  ?? VIVEGANANT­HAN (kiri) serta Ganesh cedera di tangan kanan manakala Mohamad Khusairi ditikam di kaki kanan dalam kejadian di Jalan Pasar.
VIVEGANANT­HAN (kiri) serta Ganesh cedera di tangan kanan manakala Mohamad Khusairi ditikam di kaki kanan dalam kejadian di Jalan Pasar.
 ??  ?? SUSPEK
SUSPEK

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia