Harian Metro

Serpihan kaca petunjuk kereta dalam lombong

-

Kulim: Serpihan kaca bertaburan dan kesan tayar kereta pada pasir menghala ke dalam lombong di Kampung Kuala Sedim, Sungai Karangan terjawab apabila sebuah kereta Proton Wira ditemui terjunam di dalamnya.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi kelmarin, penduduk berhampira­n yang menemui kesan tayar dan serpihan kaca serta tumpahan minyak pada permukaan air di lombong terbabit menghubung­i pihak polis untuk memaklumka­n kejadian itu.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Yussof, 20-an berkata, beberapa penduduk yang melalui kawasan lombong itu terkejut apabila melihat kesan minyak hitam di permukaan air dalam lombong berkenaan.

“Sepasukan anggota polis datang ke tempat kejadian untuk siasatan dan kemudian menghubung­i pasukan Bomba dan Penyelamat untuk bantuan.

“Kami berasa hairan bagaimana kereta terbabit boleh berada di dalam lombong ini kerana sehingga kini tiada saksi melihat kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superinten­dan Abdullah Arshad berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam yang menemui kesan kenderaan jatuh ke dalam lombong terbabit.

Beliau berkata, berdasarka­n maklumat itu, beberapa anggota kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk menjalanka­n siasatan.

“Satu operasi khas menyelamat dilakukan dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech selain dibantu Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Sungai Petani.

“Pasukan skuba yang menjalanka­n siasatan di dalam lombong terbabit kemudian menemui sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hitam di dasar lombong namun tidak menemui sesiapa dalam kereta itu,” katanya ketika dihubungi.

Abdullah berkata, kereta itu berjaya ditarik keluar kira-kira jam 4 petang dan mengalami kerosakan pada bahagian bonet hadapan serta pecah cermin hadapan selain tiada kerusi penumpang di bahagian belakang.

Katanya, pemeriksaa­n ke atas nombor pendaftara­n kereta terbabit mendapati ia milik seorang lelaki berusia 40-an yang tinggal di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang meminjamka­n keretanya kepada adik lelakinya berusia 20-an.

“Siasatan awal polis mendapati, adiknya kemudian meminjamka­n kereta abangnya kepada rakannya yang sehingga kini gagal dikesan,” katanya.

 ??  ?? KERETA yang ditemui dalam sebuah lombong diangkat keluar menggunaka­n jengkaut.
KERETA yang ditemui dalam sebuah lombong diangkat keluar menggunaka­n jengkaut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia