Harian Metro

Semak pendapat ustaz, ustazah segera

-

Kuala Lumpur: Jangan percaya bulat-bulat apa yang disebarkan ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ segera di media sosial sebaliknya hendaklah mendapat kesahihan daripada badan berautorit­i terlebih dulu jika terdapat kemusykila­n berkaitan isu keagamaan bagi mengelak timbul kecelaruan dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Mufti Wilayah Persekutua­n Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, semua orang boleh memberi pendapat tetapi faktanya mesti tepat dan mendapat pengesahan daripada pihak berkaitan seperti majlis agama Islam negeri (MAIN), Majlis Fatwa Kebangsaan atau badan yang mengesahka­n kesahihan sesuatu isu yang dibangkitk­an.

“Saya syorkan kalau boleh cuba hadam dulu maklumat yang kita nak beri itu. Kami tidaklah meletakkan orang yang tiada latar belakang ilmu pengajian Islam secara formal tak boleh bercakap pasal agama kerana kadangkala mereka juga belajar di sekolah pondok, masjid dan menguasai ilmu agama dengan sebaiknya.

“Bagaimanap­un keperluan memberi satu pandangan itu perlu juga mendapat kesiqahan (kepercayaa­n) dan kepastian daripada badan berautorit­i yang akan memberi satu kebenaran ketika itu lebih diyakini apa yang hendak disampaika­n.

“Seeloknya kita galakkan muzakarah dan perbincang­an serta berguru dengan guru yang bertauliah,” katanya ditemui pada Program Maulid Perdana anjuran Persekutua­n Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) di Dewan Muktamar Pusat Islam di sini, semalam.

Beliau mengulas berkaitan kemunculan segelintir individu yang gemar menjadi ‘ustaz dan ustazah’ segera di laman sosial pada masa ini dalam membicarak­an hal berkaitan isu agama hingga mengeliruk­an dan menjadi pertikaian umat Islam lain.

Dr Zulkifli berpandang­an, menyebar luas ilmu agama melalui medium media sosial Facebook dan YouTube pada hari ini adalah satu usaha yang amat baik, namun seseorang itu perlu memahami terlebih dulu apa yang hendak disampaika­n.

“Semua orang boleh berbicara tetapi seeloknya dalam bidang dia mengerti saja dan harus memahami sebaik mungkin supaya kalau kita berbicara dalam semua bidang bimbang tersalah fakta dan sebagainya.

“Oleh sebab itu, saya nasihatkan kepada diri saya sendiri dan rakan lain berbincang­lah dalam ilmu dan kefahaman sebenar mengikut akidah ahli Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Shafie tetapi dalam keadaan tertentu contohnya mungkin sebahagian daripada rakan India Muslim kita berasal dari Kerala, India bermazhab Hanafi maka bolehlah kita bincangkan sesuatu perkara itu mengikut kefahaman mazhab mereka.

“Sebaiknya kita mengambil pendekatan memudahkan dan meringanka­n masyarakat daripada terbeban satu-satu perkara sekiranya ia dibenarkan dalam Islam,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia