Harian Metro

Potensi besar saham syariah

-

„ Usahawan Bumiputera perlu bertindak cepat jangan sampai ketinggala­n

Pasaran saham syariah hari ini bukan saja mengklasif­ikasikan dadah, arak dan perjudian sebagai tidak patuh syariah, tetapi sumber dana syarikat juga mestilah mengikut garis panduan bebas riba.

Pentingnya label dan pengiktira­fan syariah yang dibuat Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjay­a Sekuriti (SC) sehingga boleh memberikan kesan kepada naik atau turunnya harga saham sesebuah syarikat.

Ramai pelabur runcit hari ini begitu sensitif dengan keadaan sesuatu saham itu mempunyai label syariah atau tidak. Mereka gelisah jika saham dimiliki sudah tiada lagi status syariah dan memikirkan langkah sama ada perlu menyimpan atau menjual semula saham itu turut menjadi isu perbincang­an.

Keprihatin­an sama yang sebelum ini hanya berlaku kepada industri pemprosesa­n daging dan makanan, nampaknya sudah menular pesat kepada industri pasaran saham Bursa Malaysia.

Dalam tempoh lima tahun, buat pertama kali MSCI World Islamic Indeks naik 3.8 peratus pada tahun 2016, melepasi indeks konvesiona­l. Ini menunjukka­n satu perubahan jelas betapa industri halal sedang berkembang pesat.

Untuk rekod terkini, terdapat 74 peratus atau hampir 669 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang mendapat status syariah melebihi nilai pasaran berjumlah RM1 trilion.

Pelabur saham sekarang juga boleh memilih membuka akaun CDS (akaun pelaburan saham) dan akaun jualan (trading) yang patuh syariah dengan broker dan bank pelaburan terpilih di Malaysia. Antaranya RHB Investment Bank dan BIMB Securities Sdn Bhd.

Terkini, cadangan jalinan kerjasama Bursa Malaysia dan Bursa Saham Indonesia kepada saham berasaskan syariah dilihat sebagai satu petanda baik ke arah penyenarai­an bersilang dengan kekuatan pasaran berasaskan syariah yang hampir AS$12 trilion (RM52 trilion).

Jika ini berlaku, fokus kepada saham syariah dan saham terbitan baru berstatus syariah dan teras perniagaan halal bakal menjadi tumpuan pelabur tempatan dan global.

Sokongan ekosistem pasaran modal syariah disokong oleh kerajaan akan terus membuatkan negara berada di tempat pertama dalam industri halal dunia.

Malangnya, jika dilihat daripada penyertaan syarikat Muslim untuk penarafan halal, hanyalah 30 peratus, ia perlu diambil berat oleh semua usahawan. Jangan tertinggal kerana dunia sedang ke arah industri halal.

Usahawan yang sedang membina dan meluaskan empayar perniagaan perlu pastikan ada unit halal kerana pelabur mengambil berat hal ini sebelum melabur dalam syarikat anda.

Kini, Jepun sudah mula melihat industri halal sebagai satu sumber baru bagi kekuatan ekonominya pada 2020 manakala China pula sudah menjadi pengimport bersih kepada sektor makanan dunia dengan peningkata­n kepada permintaan halal.

Ini tidak termasuk Thailand yang naik 20 peratus setahun dalam pasaran halal dengan lebih 10,000 syarikat halal di negara itu. Di Singapura pula, terdapat Ekspo Halal Singapura, begitu juga di Russia dengan Ekspo Moscow Halalnya.

Ramai usahawan dari Jepun datang ke Malaysia untuk mempelajar­i industri halal dan itu petanda luar biasa yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

Jika Amerika Syarikat mempunyai Lembah Silikon yang menjadi hab syarikat IT dan semikonduk­tor utama dunia, Malaysia sedang dan bakal menjadi tumpuan seluruh dunia sebagai peneraju kawal selia utama ekosistem halal dan patuh syariah.

Maka, pemfokusan kepada bidang ini perlu diambil kira segera kerana industri minyak dan gas (O&G) perlu diganti sebagai sumber utama negara dan lubuk kekayaan baru yang sudah berada di depan mata.

Sudah tiba masa untuk Malaysia terutama usahawan Bumiputera menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam persaingan pasaran halal yang kompetitif di peringkat antarabang­sa kerana pemasaran produk halal ke luar negara mampu menjadi teras kepada inovasi dan transforma­si ke arah ekonomi berpendapa­tan tinggi.

Penulis ialah Penganjur Expo Pelaburan dan Pasaran Saham Malaysia (MISEE 2015) dan Presiden Persatuan Pelabur Strategik Melayu

Malaysia (PPSMM)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia