Harian Metro

TEPATI RAMALAN

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

„ Pei Jing-Kian Meng benam rakan senegara juarai Masters Malaysia

Kesakitan dan keperitan yang dialami Lai Pei Jing hujung tahun lalu diakhiri dengan kejayaan penuh bermakna apabila berjaya merangkul kejuaraan Masters Malaysia selepas menumpaska­n rakan senegara Goh Soon Huat-Shevon Lai pada perlawanan akhir semalam.

Dia dan Tan Kian Meng tidak berdepan masalah untuk menepati ramalan merangkul kejuaraan bertaraf Grand Prix Emas buat kali kedua apabila menang 21-17, 21-9 di Stadium Tertutup Sibu.

“Sebelum datang ke sini saya berdepan saat sukar, sakit dan cedera hampir seluruh anggota badan. Saya tidak dapat fokus dalam latihan. Ketika itu semua orang saya jadikan tempat melepaskan geram, saya pernah memarahi jurulatih dan juga Kian Meng,” kata Pei Jing.

Jelasnya, dia tidak boleh memberikan latihan 100 peratus kerana menahan kesakitan dan berasa tidak yakin untuk mengambil bahagian pada Masters Malaysia.

“Bagaimanap­un, kami sedikit bertuah kerana mendapat undian mudah walaupun tidak jangka untuk muncul juara. Selepas ini kami akan beraksi pada Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Vietnam (14-19 Februari), Terbuka Jerman dan Seluruh England (Mac).

“Seluruh England kejohanan paling besar dan saya harap Kian Meng mampu menikmati aksi di sana sebaik mungkin kerana ini penampilan sulung buatnya. Dalam masa sama saya juga tidak sabar beraksi pada Kejohanan Berpasukan Campuran Asia kerana saya meminati aksi berpasukan,” kata pemain dari Kuantan itu.

Sementara itu, Kian Meng mengakui dia tidak terlalu memikirkan perlawanan semalam kerana lawan yang mereka hadapi adalah rakan senegara yang sentiasa berlatih bersama.

“Saya bangga bukan kerana kami berjaya muncul juara tapi kami berjaya menjulang trofi di laman sendiri. Permainan hari ini menyebelah­i kami kerana sudah bersedia dan mampu mengawal perasaan gemuruh, manakala mereka (Soon Huat-Shevon) mungkin sedikit gementar kerana kali pertama layak ke final GP Emas.

“Bagi Seluruh England pula, saya tidak terlalu memikirkan kejohanan itu kerana ia penampilan sulung saya namun kalau boleh kami mahu meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke suku akhir terlebih dulu,” kata pemain dari Pontian itu.

Kemenangan semalam berjaya mengubat kekecewaan tahun lalu apabila mereka sekadar muncul naib juara selepas tumpas kepada beregu China, Zheng Siwei-Li Yinhui.

Mereka berjaya membawa pulang trofi dan hadiah wang kemenangan sebanyak AS$9,480 (RM43,000), manakala Soon Huat-Shevon meraih AS$4,560 (RM20,200).

 ??  ?? KIAN Meng (kiri)-Pei Jing menang dua set berturut-turut.
KIAN Meng (kiri)-Pei Jing menang dua set berturut-turut.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia