Harian Metro

Pantau tumbesaran secara berkala

-

Sepang: Anak pokok bakau yang ditanam di sepanjang muara Sungai Sepang Besar, Sungai Sepang Kecil serta pantai Bagan Lalang di sini, turut dipantau proses tumbesaran­nya secara berkala.

Usaha berkenaan dilaksanak­an pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dalam mengenal pasti anak pokok bakau yang ‘menjadi’ serta mampu bertahan untuk hidup subur di kawasan itu.

Pegawai Program MNS, M Sashikala berkata, setiap kali penganjura­n program berbentuk tanggungja­wab sosial korporat (CSR) diadakan, pihaknya akan melakukan pemantauan anak pokok bakau berkenaan.

“Selepas penganjura­n aktiviti penanaman anak pokok bakau, kita akan memeriksa tumbuhan itu pada setiap bulan untuk mengenal pasti ia boleh bertahan atau tidak di kawasan berkenaan.

“Tidak semua anak pokok bakau ditanam itu terus ‘menjadi’ dan hal ini turut berkait dengan pelbagai faktor termasuk cuaca dan kawasan yang ditanam,” katanya.

Sashikala berkata, antara faktor yang menyebabka­n anak pokok bakau itu tidak dapat hidup subur ialah keadaan pasir serta arus air terutama di kawasan pantai.

“Faktor lain seperti air pasang membawa pelbagai kayu dan menghempap anak pokok bakau turut menyebabka­n kesukaran tumbuhan itu untuk terus bertahan.

“Turut diambil kira juga faktor cahaya matahari serta cara penanaman anak pokok bakau yang menentukan­nya untuk terus hidup atau sebaliknya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, bukan saja hal berkaitan pokok bakau, pihak MNS turut menjalanka­n kajian dan mengumpul data mengenai hidupan burung yang menjadikan muara sungai di sini sebagai habitat selain tempat persinggah­an.

“Pokok bakau boleh didapati di sekitar muara Sungai Sepang Besar dan Sungai Sepang Kecil antaranya api-api, perepat, bakau minyak, kurap, lenggadai, tengar serta nyireh bunga.

“Untuk burung, antara yang mudah didapati ialah beberek ekor biru, murai, belatuk, layang-layang hijrah dan layang-layang pasifik, pelbagai spesies helang serta bangau,” katanya.

Ditanya mengenai usaha dijalankan pihak MNS di daerah ini, beliau berkata, NGO berkenaan yang beroperasi di Pusat Interpreta­si Alam Sekitar (EIC) dimiliki Sepang Goldcoast giat melaksanak­an pelbagai program dan aktiviti bagi memberi kesedaran kepada orang ramai dalam aktiviti memelihara alam sekitar serta flora dan fauna.

“Pelbagai aktiviti dijalankan di pusat ini sama ada terdiri daripada murid dan pelajar selain penuntut institusi pengajian tinggi serta badan korporat dalam menjayakan program CSR penanaman anak pokok bakau.

“Malah, kita juga pernah mengadakan aktiviti hanya membabitka­n satu keluarga iaitu permintaan daripada mereka mengenai aktiviti berkaitan memelihara alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Sashikala berkata, NGO berkenaan yang ditubuhkan pada 1940-an sudah memulakan operasi di daerah Sepang sejak 2009. “Pelbagai pihak terbabit dengan aktiviti dan program diadakan berkaitan penanaman anak pokok bakau dan diharap aktiviti ini akan terus mendapat sokongan daripada semua masyarakat,” katanya.

Pelbagai pihak terbabit dengan aktiviti dan program diadakan berkaitan penanaman anak pokok bakau

Sashikala

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia