Harian Metro

DARI LONDON PUN ADA

- Azlan Hafeedz am@hmetro.com.my

Warga emas kumpul piring hitam, kaset dan cakera padat lebih lima dekad lalu

Selain keluarga, teman hidupnya yang sentiasa ‘setia’ adalah koleksi album penyanyi kegemaran dalam bentuk piring hitam, kaset dan cakera padat yang dikumpul lebih lima dekad lalu.

Minat terhadap koleksi itu turut mendorong Nik Hamdan Nik Mohd Salleh, 72, untuk mengumpul empat peralatan audio model lama buatan Jerman yang dibeli sekitar 1975 dan 1980, malah kini sudah tiada lagi di pasaran.

Jika dihitung, nilai 300 album saja yang statusnya menjadi antik sekitar RM70,000, manakala peralatan audio itu pula sudah meningkat kepada RM30,000.

Mula mengumpul pada 1965, Nik Hamdan mengakui cermat menyimpan semua koleksi kesayangan itu di rumahnya di Kampung Paya Bemban, di sini, kerana sangat meminati muzik yang sudah dianggap sebati dengan jiwanya.

Pernah berkhidmat di London, England, dia memberitah­u peluang bekerja di sana membolehka­n dia mendapatka­n album penyanyi kegemaran dengan harga berpatutan.

“Saya minat mengumpul sejak usia 17 tahun ketika melihat arwah ayah (Nik Mohd Salleh Nik Mat) mengumpul koleksi lagu-lagu Timur Tengah.

“Sebaik melanjutka­n pengajian di sebuah kolej undang-undang di London pada 1970, saya mula mendengar lagu-lagu Inggeris dan piring hitam Cliff Sings keluaran 1959 yang dinyanyika­n penyanyi terkenal Sir Cliff Richard menjadi koleksi pertama saya.

“Ketika itu saya beli dengan harga GBP 2 (dua pound sterling) saja. Saya makin ligat membeli koleksi kegemaran dan pernah juga menyaksika­n konsert di Albert Hall, Bally Show dan Convent Garden (Opera House).

“Semua kenangan ini sama ada secara material atau memori akan saya sisip kemas. Saya memang minat Cliff Richard dan Mick Jagger (Rolling Stones), malah Cliff Richard pernah mendendang­kan serangkap lagu ala Spanish berjudul Carnival di depan saya ketika mahu meminta autografny­a,” katanya.

Nik Hamdan mula membeli pelbagai album dalam tempoh 30 tahun dan ada antaranya tidak dijual di negara ini. Ia termasuk koleksi edisi terhad Bee Gees, The Beatles, Elvis Presley, Paul Mariett, Helen Shapino, James Last dan Shiela Black manakala audio itu pula jenis Bose, Uher dan Dual.

Pulang ke tanah air pada 2000, semua koleksi itu dibawa bersama dengan kargo dan dipastikan tiada cacat cela.

“Saya tidak mahu pengalaman kehilangan album dahulu berulang lagi, bukan saja kerana nilainya, malah kesukaran mendapatka­nnya semula. Sebab itu saya sentiasa berhati-hati.

“Bahkan, alatan audio juga saya ‘selimutkan’ dengan kain untuk mengelakny­a berhabuk,” katanya yang tinggal sendirian di rumahnya.

Selain Inggeris, penyanyi tempatan kegemarann­ya yang album mereka disimpan adalah Allahyarha­m Datuk Sharifah Aini, Uji Rashid, Datuk Siti Nurhaliza, Zaiton Sameon dan penyanyi veteran Indonesia Anneke Gronloh.

“Koleksi ini pernah ditawarkan dengan harga agak tinggi oleh pengumpul (koleksi) sama dari Sarawak dan Kuala Lumpur tapi saya enggan menjualnya kerana itulah ‘isteri, anak dan cucu cicit’ yang menjadi penghibur diri ini tatkala kesunyian,” katanya yang masih membujang sehingga kini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia