Harian Metro

SAMPAI KOYAK DAHI

- Fardy Bungga fardy@hmetro.com.my

Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menerima berbelas jahitan di dahi akibat terkoyak selepas dipercayai didera ibu kandung dan teman lelakinya.

Mangsa berusia empat tahun itu turut lebam di seluruh badan dan kaki ketika tinggal bersama ibunya di Taman Maluri, di sini.

Mangsa yang tinggal bersama neneknya selepas perceraian ibu bapanya setahun lalu dikatakan diambil ibu kandungnya minggu lalu.

Bagaimanap­un, ketika dihantar pulang, keadaan kanak-kanak itu cukup menyayat hati sehingga terpaksa dibawa mendapatka­n rawatan susulan.

Difahamkan, ibu kandung dan teman lelakinya yang menghilang­kan diri menyerah diri kepada polis kira-kira jam 3 pagi semalam di Ulu Yam Baru, dekat Kuala Kubu Bharu.

Ibu saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hana berkata, kejadian disedari bapa mangsa yang membawanya menjalani pemeriksaa­n di hospital sebelum membuat laporan polis.

Katanya, mangsa terpaksa ditahan di Hospital Ampang selama enam hari untuk merawat kecederaan dialaminya.

Insiden yang menimpa kanak-kanak itu tular di laman sosial dan mendapat pelbagai komen daripada orang ramai.

Kenyataan viral itu mendakwa polis tidak mahu mengambil tindakan terhadap laporan berkenaan dan memohon orang ramai supaya membantu menahan kedua-dua suspek terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kanak-kanak terbabit kini dalam jagaan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

Katanya, kedua-dua suspek yang juga ibu kandung mangsa dan teman lelakinya ditahan semalam.

“Suspek kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarka­n, semalam.

Amar Singh turut menyatakan rasa kesal dengan tindakan individu tidak bertanggun­gjawab yang menyebarka­n kononnya polis tidak mahu mengambil tindakan terhadap laporan kes berkenaan.

Katanya, walaupun laporan polis ditarik balik bapa mangsa selepas pelaku yang juga bekas isteri pengadu memohon maaf atas kejadian itu namun polis tetap menjalanka­n siasatan.

 Budak 4 tahun lebam satu badan didera ibu, teman lelaki

 ??  ?? MANGSA terpaksa menerima berbelas jahitan di dahi dan lebam di badan.
MANGSA terpaksa menerima berbelas jahitan di dahi dan lebam di badan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia