Harian Metro

DATUK PADUKA ‘PUAKA’

- Muhaamad Hafis Nawawi mhafis@hmetro.com.my

Seorang wanita mendakwa dia bergelar Datuk Paduka bagi meyakinkan orang ramai untuk menyertai skim pelaburan barangan kemas, jam tangan berjenama dan tukaran mata wang asing (forex) yang dijalankan­nya.

Pelaburan ditawarkan pula serendah RM50 dan wanita berusia 34 tahun itu terbabit dengan kegiatan itu sejak Februari tahun lalu.

Lebih menyedihka­n, ada mangsa sanggup meminjam daripada along dan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) milik anak namun akhirnya kecewa apabila ditipu sehingga ada merana akibat diburu along selain kereta, barangan kemas dan tanah tergadai.

Ketika ini, 200 pelabur menjadi mangsa dan mereka kerugian RM17 juta selepas terpedaya dengan janji keuntungan 100 peratus yang ditawarkan­nya.

 200 pelabur diperdaya RM17 juta

Kakitangan awam yang mahu dikenali sebagai Ummi, 43, berkata, dia kerugian RM36,300 selepas terpedaya dengan pelaburan forex yang menjanjika­n keuntungan sehingga RM70,000.

“Akibatnya, saya kesempitan wang malah terpaksa menjual kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan, selain meminjam Perodua Viva anak untuk ke tempat kerja.

“Saya menerima pulangan buat beberapa kali saja sebelum ia terhenti. Wanita terbabit pula memberi pelbagai alasan dan akhirnya memutuskan nombor telefon bimbitnya,” katanya, semalam.

Menurut Ummi, dia melaporkan penipuan itu di Balai Polis Kulim.

Suri rumah dikenali sebagai Sofea, 34, berkata, dia kerugian RM400,000 akibat terpedaya pelaburan itu.

“Saya menyertai skim ini April tahun lalu sebelum gagal menerima pulangan sejak Januari lalu. Saya melaporkan penipuan itu di Balai Polis Sitiawan, Perak, 21 Januari lalu,” katanya.

Zurihani, 46, yang juga peniaga kosmetik nyaris kehilangan premis perniagaan, selain tidak mampu membayar bil elektrik dan air rumahnya akibat kesempitan wang selepas modal pelaburan RM32,000 lesap.

Zurihani berkata, dia terpaksa menjual barangan kemas untuk melangsaik­an hutang sewa kedai, selain bil elektrik dan air tertunggak. Dia melaporkan penipuan itu di Balai Polis Kamunting, Perak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Pemangku Superinten­dan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi semalam mengesahka­n menerima satu laporan berkaitan kes terbabit di Kulim.

“Suspek ditahan semalam (kelmarin) di Seberang Jaya, Pulau Pinang bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek turut terbabit dengan kes sama di Sitiawan, Perak, Raub, Pahang dan Pulau Pinang. Suspek direman bermula hari ini (semalam) sehingga esok (hari ini),” katanya.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? WARTAWAN mendengar penjelasan mangsa penipuan skim pelaburan di Seberang Jaya.
WARTAWAN mendengar penjelasan mangsa penipuan skim pelaburan di Seberang Jaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia