Harian Metro

SUARA MERDU IMAM REMAJA

 Pelajar Maahad Tahfiz Darus Sunnah berusia 15 tahun pimpin solat sunat di masjid

- Dziyaul Afnan Abdul Rahman am@hmetro.com.my

Lantunan bacaan surah al-Fatihah selain surah an-Nisa dan al-Baqarah yang nyaring serta merdu ketika mengimamka­n solat sunat Tarawih di Masjid Osmaniah, Batu 20, di sini, berjaya menarik tumpuan umum untuk menunaikan solat di masjid berkenaan sejak malam pertama Ramadan.

Remaja berkenaan Furqan Azhar, 15, pelajar Maahad Tahfiz Darus Sunnah (MAQDIS), Padang Melangit antara imam termuda dijemput pengurusan Masjid Osmaniah untuk membantu imam sedia ada bagi memimpin solat sunat Tarawih sepanjang Ramadan tahun ini.

Imam Masjid Osmaniah Md Akhir Mahmud berkata, Furqan dijemput khas oleh jawatankua­sa masjid bagi membantuny­a memimpin solat Tarawih sepanjang Ramadan di masjid berkenaan.

Katanya, dia yang bertugas berseorang­an sepanjang solat fardu dan solat sunat Tarawih antara faktor utama pihaknya membawa Furqan ke masjid berkenaan.

“Furqan dijemput sebagai imam kedua berikutan masjid ini hanya mempunyai seorang imam saja beberapa tahun lalu.

“Jemputan ini dipenuhi selepas pihak jawatankua­sa masjid bersetuju memilih Furqan sebagai pembantu imam memandangk­an ayahnya kenalan kepada Timbalan Pengerusi kariah masjid ini,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, di sini, kelmarin.

Katanya, ini tahun pertama pihak pengurusan Masjid Osmaniah menjemput imam dari pusat pengajian al-Quran untuk memimpin solat Tarawih.

Sementara itu, Furqan pula berkata, menggalas tanggungja­wab sebagai imam solat Tarawih bersama golongan muslimin dan muslimat yang lebih tua daripadany­a adalah amanah yang besar.

Katanya, perkara berkenaan secara tidak langsung membuatkan dirinya berasa gementar setiap kali diberikan ruang utama untuk memimpin jemaah ketika menunaikan solat.

“Memang takut kerana dalam usia muda sudah diberikan tanggungja­wab (mengimamka­n solat tarawih) sedemikian dan rasa nak menolak pun ada.

“Malah, paling membimbang­kan jika ada jemaah atau imam di belakang yang menegur sekiranya bacaan terdapat kekeliruan dan kesalahan struktur ayat,” kata anak keempat kepada pasangan Azhar Ahmad, 46, dan Rosliza Ibrahim, 46, yang berasal dari Kampung Kolam, di sini.

Menurutnya, walaupun baru dua tahun setengah menuntut di MAQDIS, ini kali kedua dia dijemput memimpin jemaah untuk solat Tarawih.

Katanya, sebelum ini, dia pernah dipanggil menjadi imam di Masjid Al-Hakim di Padang Malau pada Ramadan tahun lalu.

Baginya, kedua-dua jemputan berkenaan satu penghargaa­n buatnya yang baru mendalami ilmu al-Quran dan hadis di MAQDIS.

“Setakat ini, saya sudah menghafaz ayat al-Quran enam juzuk di bawah bimbingan Abdul Sharif Abdul Salam yang berasal dari Kedah,” katanya.

Sementara itu, penduduk setempat yang hadir untuk menunaikan solat Tarawih di masjid berkenaan, Hashim Hassan, 58, berkata, tugas imam yang digalas Furqan satu tanggungja­wab mulia.

“Tidak ramai anak muda belasan tahun sanggup menghabisk­an usia muda mempelajar­i al-Quran dan menghafazn­ya. Furqan adalah satu anugerah kepada ibu bapanya dalam terus menabur bakti kepada agama melalui bidang yang diceburiny­a,” katanya.

Jemaah lain Abdul Basir Yusuf, 46, pula berkata, kehadiran Furqan untuk mengimamka­n solat Tarawih di masjid berkenaan sedikit-sebanyak dapat membantu meringanka­n tugas Md Akhir.

“Satu penghargaa­n kepada Masjid Osmaniah dengan kehadiran Furqan di sini memandangk­an Md Akhir bertugas berseorang­an sebagai imam di masjid ini sejak 2000 lagi,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? FURQAN (tengah) memimpin solat Tarawih.
FURQAN (tengah) memimpin solat Tarawih.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia