Harian Metro

Ziarah Ramadan MBSA bantu 120 asnaf

-

“Ini Ramadan pertama kami tanpa ayah di sisi dan sememangny­a pilu apabila mengenangk­an nasib diri yang serba kekurangan,” kata Sabana Suhaimi, 65.

Wanita warga emas yang masih bujang itu menetap bersama adiknya, Husin Suhaimi, 47, di sebuah rumah usang yang hanya menunggu masa untuk roboh di Padang Jawa, di sini.

Menurut Sabana, dia dan adiknya yang juga bujang hanya tinggal berdua selepas bapa mereka meninggal dunia pada Aidiladha tahun lalu.

“Kadangkala kami terpaksa tidur di laman kerana rumah sering dinaiki air akibat hujan lebat yang melanda sejak kebelakang­an ini.

“Bagaimanap­un, saya bersyukur kerana masih bernafas dan meneruskan kehidupan sehingga ke hari ini,” katanya.

Nasib dua beradik itu mendapat perhatian Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi kunjungan Datuk Bandarnya Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, kelmarin.

Sabana antara 120 penerima bantuan sempena sambutan Ramadan bagi program Ziarah Ramadan 2017 anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zaharin berkata, program itu antara tanggungja­wab sosial korporat (CSR) MBSA bagi membantu golongan yang memerlukan pada bulan keberkatan ini.

Menurut beliau, semua penerima sumbangan yang dikenal pasti terdiri daripada fakir miskin, ibu tunggal, warga emas tidak berkemampu­an dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Pemberian berupa barangan keperluan bernilai RM150 ini diharap dapat meringanka­n beban mereka, sekali gus memberi sinar untuk mereka menyambut kedatangan bulan penuh berkat ini,

“Selain barangan keperluan dapur dan makanan, mereka menerima sejumlah wang tunai,” katanya.

Kata Ahmad Zaharin, sepanjang Ramadan ini, MBSA bakal mengadakan beberapa program seperti Iftar Jamie MBSA dan pemberian topi keledar percuma sempena program Jom Balik Kampung.

 ??  ?? AHMAD Zaharin (kanan) menyampaik­an sumbangan kepada Sabana sempena program Ziarah Ramadan.
AHMAD Zaharin (kanan) menyampaik­an sumbangan kepada Sabana sempena program Ziarah Ramadan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia