Harian Metro

Jemaah sudah tegur jangan main atas titi

-

Alor Setar: “Sebelum kejadian, ada jemaah melarang beberapa kanak-kanak termasuk mangsa berkumpul di atas titi konkrit itu kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku, tetapi mereka tidak mengendahk­annya dan terus bermain di situ.

“Namun tidak lama kemudian, ada orang datang beritahu saya ada budak jatuh sungai selepas tergelinci­r dari titi konkrit itu dan saya bergegas pergi melihat apa yang berlaku,” kata Mohd Noor Ahmad.

Mohd Noor, 52, berkata, ketika itu dia menyiapkan moreh untuk jemaah berhampira­n Masjid Al-Ittihad, Kampung Sungai Baru Tengah, Kubang Rotan, di sini, jam 9.30 malam, kelmarin.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia nampak mangsa, Iman Shafiq Ibrahim, 7, dihanyutka­n arus ke tengah sungai sebelum hilang dari pandangan.

“Ada penduduk terus menghubung­i pasukan bomba dan penyelamat untuk mendapatka­n bantuan. Ketika itu, sebahagian jemaah masjid sedang khusyuk menunaikan solat Tarawih di masjid yang terletak hanya 20 meter dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di pekarangan masjid berkenaan, kelmarin.

Jasad Iman Shafiq ditemui pada jam 12.41 tengah malam selepas pasukan penyelamat melakukan pencarian hampir tiga jam di sungai berkenaan.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Mohamad Yunus Abu berkata, operasi pencarian mangsa membabitka­n 50 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis dan Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA).

“Mayat kanak-kanak ditemui 50 meter dari tempat dia terjatuh dan tersangkut pada ranting kayu pada kedalaman tiga meter,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia