Harian Metro

GERAM TAPI SABAR

- Noor Hidayah Tanzizi am@hmetro.com.my

Dua pencuri buah kelapa diikat pada pokok sebagai pengajaran

“Kalau ikutkan hati memang geram tapi kami (penduduk) sabar kerana bulan Ramadan menuntut kita lebih bersabar namun untuk berikan pengajaran kepada dua lelaki itu kami ikat mereka di pokok kelapa,” kata Mohd Yaacob Hashim, 65.

Mohd Yaacob adalah antara penduduk Kampung Tersusun Batu 7 Lekir, di sini yang bertindak menangkap dan mengikat dua lelaki yang dipercayai mencuri kelapa di kawasan Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah, di kampung itu kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, dua lelaki berusia 14 dan 25 tahun itu yang juga peniaga air di bazar Ramadan di Teluk Muroh, Lumut, di sini, dicekup dan diikat pada pokok kelapa selepas penduduk kampung menyedari tindakan mereka.

Menurut Mohd Yaacob yang juga bekas ketua kampung itu, perbuatan dua lelaki itu memanjat pokok kelapa disedari pemilik kedai runcit dekat sekolah terbabit.

“Sebaik menerima maklumat saya bersama 10 penduduk ke lokasi mendapati seorang suspek berada dalam kereta Proton Wira manakala seorang lagi mahu ke kedai berhampira­n dan di dalam kereta itu sudah ada beberapa tandan buah kelapa namun saya tidak pasti buah itu diambil di kampung ini atau tempat lain,” katanya.

“Saya tanya adakah mereka mengambil kelapa itu. Sebaik mereka mengakuiny­a, kami menangkap dan ikat mereka pada pokok kelapa,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, tujuan suspek diikat untuk memberi pengajaran selain untuk penduduk lebih berhati-hati kerana kampung mereka sering berlaku kecurian.

“Kami ikat mereka dengan tali yang mereka guna untuk menurunkan kelapa dari pokok.

“Mereka diikat 15 minit iaitu sehingga polis tiba. Kami tak pukul atau mencederak­an mereka kerana mahu polis ambil tindakan.

“Tak sangka di bulan mulia ini masih ada individu yang melakukan aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.

Mohd Yaacob berkata, biarpun merayu dilepaskan dan mendakwa itu kali pertama mencuri kelapa, penduduk buat keputusan melaporkan kepada polis dan ‘mengajar’ mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, dua individu yang ditangkap itu berasal dari Taman Hijau, di sini dan bekerja menjual air kelapa di Telok Muroh.

 ?? FOTO: NOOR HIDAYAH TANZIZI ?? GAMBAR dua lelaki yang diikat pada pokok kelapa selepas
ditangkap penduduk.
FOTO: NOOR HIDAYAH TANZIZI GAMBAR dua lelaki yang diikat pada pokok kelapa selepas ditangkap penduduk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia