Harian Metro

HATI TERBUKA SEBELUM PUASA

- Hazira Ahmad Zaidi am@hmetro.com.my

 Penantian sekian lama seorang wanita berakhir apabila

dapat hidayah untuk memeluk agama Allah

Sepanjang tujuh tahun lalu, dia sekadar menjadi pemerhati dan mengagumi rakan perempuann­ya beragama Islam menjadi umat yang baik serta mematuhi semua syariat terutamany­a berpakaian menutup aurat.

Ketika itu, Sunny Ong, 22, hanya seronok dan tenang apabila bersama mereka sehingga Allah SWT mengurniak­annya hidayah untuk mendalami ajaran Islam sekali gus memeluk agama syumul itu, Februari lalu.

Kini, sudah tiga bulan Sunny menggunaka­n identiti Nur Hidayah Ong Abdullah sekali gus mengakui kehidupann­ya menjadi lebih tenang apabila dapat merasai nikmat sebenar bergelar orang Islam.

Ramadan ini pula menjadi permulaan baginya untuk memantapka­n diri sebagai penganut Islam sejati.

“Saya akui tertarik dengan ajaran Islam selepas mendamping­i rakan perempuan Melayu yang berpakaian sopan, bertudung dan menutup aurat.

“Ketika bersekolah di tingkatan tiga, saya tertarik dengan agama syumul ini dan banyak bergaul dengan mereka untuk kenal Islam. Tinggal dan bersekolah di Machang membuatkan saya ramai kawan Melayu berbanding sama bangsa.

“Ketika itu, saya sudah mula berpuasa dan belajar mengenai Islam, sekadar suka-suka dan untuk menguji diri sama ada mampu atau tidak. Rakan-rakan sayalah yang beri galakan, tetapi ketika itu belum mahu menukar agama lagi.

“Sehinggala­h pada Februari lalu, selepas bertahun-tahun saya belajar, Allah kurniakan hidayah dan saya melafaz dua kalimah syahadah. Hari ini, pada bulan mulia ini, saya dapat rasai nikmatnya berpuasa sebagai seorang Muslim,” katanya ketika ditemui.

Nur Hidayah berkata, sebelum ini dia pernah berdoa sekiranya Allah membuka hatinya untuk memeluk Islam, biarlah ia berlaku sebelum Ramadan dan tidak menyangka permintaan­nya menjadi kenyataan.

Dia kini mendalami ajaran Islam dengan bimbingan tenaga pengajar daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) selain bantuan daripada Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kelantan serta Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Malah, nama Islamnya turut dicadangka­n oleh tenaga pengajar di MAIK yang membawa maksud cahaya petunjuk.

“Alhamdulil­lah saya masih dalam proses pembelajar­an, namun semuanya dipermudah­kan Allah. Saya berharap Ramadan ini jadi permulaan untuk saya menjadi muslimat yang lebih baik.

“Saya bersyukur keluarga memberi sokongan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MACMA Kelantan Nor Asikin Ong Abdullah, 55, berkata, sehingga kini seramai 300 mualaf di Kelantan berdaftar dengan pertubuhan terbabit sejak 1998.

“Dalam setahun, kami menerima sekurang-kurangnya 10 orang saudara baru yang memeluk Islam,” katanya.

 ??  ?? NOR Asikin (kiri) membimbing Nur Hidayah mengaji al-Quran.
NOR Asikin (kiri) membimbing Nur Hidayah mengaji al-Quran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia