Harian Metro

Motivasi terbaik Kompany

-

Brussels: Vincent Kompany berkata prospek untuk Belgium layak ke Piala Dunia Russia tahun depan memberikan motivasi ketika berdepan dengan ‘saat gelap’ selepas tidak beraksi hampir dua tahun.

Pertahanan Manchester City itu dijangka mewakili negaranya menentang Republik Czech pada perlawanan persahabat­an di Brussels, Isnin ini dan kemudianny­a Estonia pada Jumaat ketika Belgium bertekad mengukuhka­n cengkaman mereka sebagai pendahulu Kumpulan H.

“Pada saat kegelapan, itu motivasi terbesar saya,” katanya ketika skuad itu bersiap sedia untuk dua perlawanan

antarabang­sa.

“Jika saya tidak ke Piala Dunia, saya tidak akan menangis tapi adalah penting untuk saya melihat ke depan dan mempertaja­mkan permainan.

“Ia masih belum pasti jika berpeluang, musim depan adalah yang terakhir buat saya bersama pasukan kebangsaan. Jadi harapan saya adalah menikmati kempen Piala Dunia terbaik pada 2018.”

Pemain berusia 31 tahun itu yang tampil bersama pasukan kebangsaan ketika berusia 17 tahun, tidak dapat beraksi bersama Belgium sejak Oktober 2015 kerana pelbagai kecederaan.

“Saya faham ramai yang bimbang dan ragu-ragu sama ada saya mampu kembali tapi saya tidak tertekan,” katanya.

“Saya tahu tahap kemampuan sendiri. Jika saya boleh berlatih dengan pemain terhebat maka sudah tentu saya boleh bermain dengan mereka dalam perlawanan. Saya sentiasa mempunyai keyakinan diri.”

Biarpun dianggap sebagai antara pertahanan terhebat dunia, Kompany berpendapa­t kecederaan dialaminya bermakna dia perlu meyakinkan Pep Guardiola yang dia layak berada dalam perancanga­n pengurus Manchester City pada musim pertama di kelab itu.

“Saya fikir perlawanan menentang Chelsea adalah penentu. Ia perlawanan pertama saya sejak sekian lama,” katanya.

“Saya tidak bermain langsung, termasuk perlawanan persahabat­an dan boleh dikatakan saya bermula dari kosong ke 100 namun beliau mendapati saya boleh diharap dan sejak itu segala-galanya berjalan lancar.” - Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia