Harian Metro

‘Mereka semua ahli syurga’

- Maiamalina Mohamed Amin maiamalina@hmetro.com.my

 Pemilik rumah dirempuh van maahad tahfiz belum mampu baiki kediaman rosak

“Dalam fikiran saya, budak-budak itu semua ahli syurga. Jadi saya tidak perlu takut apa-apa,” kata Azrin Hassan, 42, pemilik rumah di Kampung Telekong, di sini, yang rosak selepas dirempuh van Maahad Tahfiz Al Hashimi, Tualang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, van berkenaan yang membawa 12 pelajar tahfiz untuk ke program tafsir dan bacaan al-Quran di Kota Bharu, terbabas lalu merempuh rumah Azrin menyebabka­n bahagian stor serta ruang tamu rosak teruk.

Rempuhan itu juga menyebabka­n tujuh pelajar berusia antara 14 hingga 18 tahun maut dengan lima meninggal dunia di tempat kejadian.

Azrin berkata, walaupun insiden itu sudah empat hari berlalu, dia masih merasakan kejadian seperti berlaku semalam terutama apabila sisa runtuhan belum diusik.

“Bukan saya sengaja untuk biarkan keadaan begini, tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu mulakan pembersiha­n. Sisa runtuhan masih ada, malah serpihan kaca juga bertaburan di atas tanah.

“Sisa darah pelajar itu pun anggota penyelamat yang bersihkan termasuk menarik keluar van yang tersangkut di bawah runtuhan.

“Saya belum kuat membersihk­annya lagi. Biar dulu. Kalau orang kata, tak takut ke ada yang ‘mengacau’ atau bunyi orang menangis, saya pula berpendapa­t, itu semua khurafat.

“Sikit pun saya tidak takut kerana saya tahu, mereka yang meninggal dunia di rumah saya ini orang yang baik-baik, budak tahfiz yang luhur hatinya dan syurga menanti mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Azrin mengakui sedikit sebanyak turut terkesan melihat rumahnya yang rosak dan keluargany­a tidak berkemampu­an membaikiny­a dalam masa terdekat, terutama bakal menyambut Aidilfitri.

Katanya, dia sendiri dalam proses penyembuha­n selepas menjalani pembedahan paru-paru di Hospital Kuala Krai (HKK) pada Januari lalu.

“Doktor masih belum izinkan saya melakukan kerja berat. Saya pun sudah lima bulan tidak bekerja dan kami tujuh beranak termasuk ibu saya bergantung kepada pendapatan isteri, Rosmaini Che Remeli, 34, sebagai pembantu kedai.

“Sebelum ini saya lakukan kerja kampung dan menternak serta menguruska­n sawah. Boleh juga bertukang rumah, namun buat masa ini saya kurangkan aktiviti berat kerana belum pulih sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanap­un, dia tidak meminta simpati, sebaliknya berterima kasih kepada semua pihak yang menunjukka­n keprihatin­an dan bertanya khabar keluargany­a selepas insiden itu.

 ??  ?? AZRIN menunjukka­n kawasan rumahnya yang dirempuh van.
AZRIN menunjukka­n kawasan rumahnya yang dirempuh van.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia