Harian Metro

Dua mangsa parah masih di ICU

-

Kota Bharu: Dua daripada lima pelajar tahfiz yang parah dalam kemalangan, Jumaat lalu masih ditempatka­n di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 17, dilaporkan masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan sejak dimasukkan ke HUSM pada Sabtu lalu.

Sementara rakannya, Muhammad Nur Haikal Pauzi, 14, yang ditempatka­n di HRPZ II di sini, semakin stabil selepas menjalani pembedahan di bahagian tangan kiri dan paha kanan, tengah malam kelmarin.

Menurut bapa Muhammad Faiz Hafizuddin, Mohd Izahir Kasim, 49, anaknya itu masih dalam pemantauan pakar dan pembedahan masih belum dapat dilakukan kerana keadaannya tidak stabil.

“Dia mengalami kecederaan serius termasuk pada tulang belakang, kepala dan paru-paru. Ketika ini dia masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Doktor memberitah­u anak saya mungkin akan lumpuh sekiranya pembedahan segera tidak dilakukan. Malangnya, keadaan dia ketika ini tidak mengizinka­n pembedahan dibuat.

“Saya mohon doa daripada semua umat Islam untuk kesejahter­aan anak saya, malah kami sekeluarga tidak putus-putus melakukan solat hajat dan memohon Allah meringanka­n penderitaa­nnya, juga supaya dia cepat sedar,” katanya.

Dalam pada itu, abang kepada Muhammad Nur Haikal, Mohd Nur Hazizie, 26, berkata, kesihatan adiknya beransur baik dan dia selesai menjalani pembedahan pada jam 12.45 tengah malam kelmarin.

“Keluarga bersyukur kerana Muhammad Nur Haikal beransur baik dan dia pun boleh makan walaupun mengalami beberapa kecederaan dalaman akibat kemalangan itu.

“Saya dan keluarga juga berdoa agar dia cepat sembuh,” katanya yang turut memantau keadaan adiknya itu di ICU HRPZ II.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia