Harian Metro

Dera anak sampai mati

Suami isteri dituduh bunuh zuriat

- Sarah Zulkifli sarah@hmetro.com.my

Sepasang suami isteri berdepan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, di sini, semalam, atas pertuduhan membunuh anak lelaki mereka berusia sembilan tahun dengan mendera mangsa menggunaka­n rotan secara bertubi-tubi di sebuah pusat urut, di sini, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Aaron Teoh Eng Wan, 34, dan isterinya, En Sit Mooi, 36, masing-masing hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan ke atas mereka dibacakan bersama di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati bersama-sama membunuh anak lelaki mereka, Adrian Teoh Wai Kit yang berusia sembilan tahun ketika kejadian di Lanna Pure Thai Massage, No 19-2, Jalan USJ 1/1A, Regalia Business Centre, Subang Jaya, di sini, antara jam 2 petang hingga jam 3.30 petang, 26 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34, akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, pasangan itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menganiaya anak mereka menggunaka­n dua bilah rotan secara bertubi-tubi di tempat, tarikh dan masa sama.

Akibat daripada penderaan itu, mangsa mengalami kecederaan di dalam usus perut sebelah kiri, patah tulang rusuk dan patah tulang paha kiri.

Bagaimanap­un, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 12 Julai depan untuk sebutan semula kes dan laporan bedah siasat.

 ??  ?? SUAMI isteri berdepan hukuman gantung sampai mati kerana mendera anak mereka hingga mati.
SUAMI isteri berdepan hukuman gantung sampai mati kerana mendera anak mereka hingga mati.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia