Harian Metro

‘Perjudi’ nyawa keluarga

Lelaki hutang along kerana judi tinggalkan isteri dan anak

- Fardy Bungga fardy@hmetro.com.my

Suami pinjam untuk berjudi, isteri dan anak yang merana. Itu yang terjadi terhadap seorang wanita berusia 38 tahun yang terpaksa berdepan gangguan along hampir setiap hari di rumah.

Wanita terbabit bukan saja terpaksa menerima puluhan panggilan telefon daripada kumpulan along berkenaan, malah rumah mereka juga dibaling cat merah.

Kumpulan along berkenaan bertindak sedemikian selepas suaminya yang bekerja sebagai tukang masak menghilang­kan diri dan meninggalk­an keluargany­a.

Difahamkan, suami mangsa berhutang dengan beberapa kumpulan along untuk berjudi dengan jumlah keseluruha­n melebihi RM100,000.

Mangsa yang mahu dikenali Wong berkata, suaminya gemar berjudi dan sanggup meminjam daripada ceti haram semata-mata untuk memuaskan hatinya.

Malah, katanya, pada Ogos lalu, dia sudah membantu suami menyelesai­kan hutang RM100,000 kepada kumpulan along yang lain dan suaminya juga berjanji tidak akan meminjam lagi untuk berjudi.

“Saya terkejut apabila menerima puluhan panggilan telefon, selain rumah juga dibaling cat merah. Kumpulan along itu memberitah­u suami berhutang dan minta saya jelaskan.

“Saya minta kumpulan along itu supaya tidak lagi mengganggu saya dan anak. Suami saya sudah tidak pulang ke rumah dan saya tidak tahu di mana dia berada... cari dia untuk selesaikan hutang itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat Biro Aduan Awam MCA, di sini.

Menurutnya, dia nekad memutuskan hubungan dengan suaminya selepas lelaki itu tidak pernah serik walaupun sudah dibantu beberapa kali.

“Kami malu dengan jiran, malah cat merah yang dibaling kumpulan along berkenaan turut terkena kereta dan rumah jiran,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, kejadian pemerasan dan gangguan along itu amat dikesalkan kerana perkara itu tidak seharusnya membabitka­n keluarga peminjam.

 ??  ?? MANGSA menunjukka­n cat yang dibaling kumpulan along di rumahnya.
MANGSA menunjukka­n cat yang dibaling kumpulan along di rumahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia