Harian Metro

KD Rahmat tegak semula

-

Lumut: Kapal muzium EX Kapal Diraja (KD) Rahmat yang mengalami kebocoran sehingga menyebabka­n strukturny­a senget dan hampir tenggelam di pesisir Marina Waterfront, Lumut sudah ditegakkan semula pada jam 4 pagi semalam.

Panglima Armada Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata, ia berikutan kejayaan pelaksanaa­n kerja di peringkat fasa pertama iaitu mengepam air keluar dari kapal secara berterusan sejak kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaa­n mendapati air dipercayai masuk melalui beberapa bahagian atau injap lama yang rosak, paip patah dan beberapa kerosakan lain.

“Usaha yang dilakukan secara berterusan selama 24 jam menunjukka­n perubahan baik dan EX KD Rahmat berjaya ditegakkan semula seperti asal. Ia bukan perkara mudah kerana memerlukan kerja teratur dan dilakukan tenaga pakar teknikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya pada sesi lawatan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke kapal berkenaan di Waterfront, Lumut.

Katanya, setakat ini pihaknya melalui penyelam TLDM mengenal pasti bahagian yang bocor dan terdapat beberapa bahagian sudah ditampal di luar dan dalam kapal.

“Kita masih dalam kajian di setiap bahagian dan setakat ini air di dalam kapal sudah kering sepenuhnya. Ketika ini kami menjalanka­n langkah pengawasan di kapal ini,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri melalui jawatankua­sa khas akan mengadakan perbincang­an dengan TLDM mengenai kedudukan dan hala tuju kapal EX KD Rahmat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia