Harian Metro

Program dekat di hati masyarakat

-

Iskandar Puteri: Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) adalah program yang dekat di hati masyarakat sejak 10 tahun lalu termasuk pada Ramadan kerana ia mengenal pasti golongan kurang bernasib baik untuk diraikan supaya mereka tidak terkecuali merasakan kenikmatan Aidilfitri.

Kali ini, kira-kira 300 insan kurang bernasib baik termasuk anak yatim, asnaf dan ibu tunggal di Mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah yang terletak 34 kilometer dari pusat bandar raya Johor Bahru terpilih sebagai tetamu TKHM yang akan diadakan selama dua hari mulai esok di Masjid Al-Irsyad, Desa Paya Mengkuang.

Pengerusi TKHM, Othman Mamat berkata, Forest City sebagai penaja utama meraikan 200 anak yatim selain 50 ibu tunggal dan 50 asnaf dari Desa Paya Mengkuang, Kampung Tiram Duku, Kampung Kajang, Tanjung Adang, Tanjung Pelepas, Kampung Pok dan Kampung Ladang.

Beliau berkata, pilihan peserta bagi menerima sumbangan berdasarka­n maklumat yang dikumpul daripada ketua kampung di sekitar Mukim Tanjung Kupang untuk dibantu.

Menurutnya, mengikut perancanga­n, hari pertama program, rombongan 200 anak yatim berusia lima hingga 17 tahun akan dibawa untuk membeli-belah di Commercial Street, Forest City dan Pasaraya Giant Tampoi bagi membeli pelbagai barangan kelengkapa­n Aidilfitri.

“Bagi memudahkan pergerakan, urusetia TKHM mengatur rombongan kumpulan anak yatim berkenaan dengan menyediaka­n kemudahan lima bas dan mereka berkumpul di pekarangan masjid pada jam 12.30 tengah hari.

“Bagi melancarka­n aktiviti pembelian kelengkapa­n raya, penerima ditemani sukarelawa­n TKHM yang mengiringi mereka bermula dari awal hingga tamat program hari pertama,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia