Harian Metro

Raungan pilu panggil ibu

-

Kuala Krai: “Angah cam selipar di tepi jalan itu mami (ibu) punya sebab itu pergi dekat untuk tengok, tapi mami dah tiada,” kata Alif Hakimi Abd Razak, 5, dalam deraian air mata selepas melihat ibunya, Aida Mamat, 35, maut dalam kemalangan, semalam.

Kejadian berlaku di hadapan rumah mereka di Kampung Bukit Sireh, Kuala Nal, di sini jam 1.20 petang ketika Aida menyeberan­g jalan untuk menunggu van menjual ikan dan sayuran di tepi kedai berhadapan rumahnya.

Sebuah Perodua Viva dipandu seorang lelaki dipercayai melanggarn­ya ketika dia menyeberan­g jalan dan berada di tepi kedai.

Alif Hakimi anak kedua Aida, sempat mendengar jeritan dan brek kereta sebelum keluar dari rumah untuk melihat apa berlaku.

Sebaik berada di pintu rumah, dia melihat selipar ibunya dan berlari ke tepi jalan, tempat orang ramai mengerumun­i seorang wanita yang terbaring.

Tidak disangka, mangsa itu ibunya dan dalam tangisan dia meraung memanggil ibunya.

Turut bersama ialah abangnya, Alif Hafizuddin, 7, yang memberitah­u ibunya mahu membeli lauk sebagai juadah berbuka puasa.

“Semalam (kelmarin) mami masak gulai ayam kegemaran saya dan adik untuk berbuka. Saya sedih mami pergi begini,” katanya yang memberitah­u bersedia menggalas tanggungja­wab menjaga Alif Hakimi dan seorang lagi adik mereka, Nurin Najwa, 2, selepas ketiadaan ibu mereka.

Menurutnya, arwah ialah suri rumah dan bapanya, Abd Razak Majid, 39, bekerja sebagai mekanik.

Saksi kejadian, Zuraini Abdullah, 36, berkata, ketika kejadian itu, dia berada di hadapan rumah bersama ibunya untuk menunggu van menjual ikan seperti Aida.

“Mulanya saya nampak mangsa melintas jalan dan sudah pun berada di tepi jalan dekat tiang elektrik.

“Tetapi apabila saya berpaling untuk berbual dengan ibu, saya dengar bunyi dentuman seperti orang dilanggar dan melihat arwah terbaring di tepi jalan.

“Pemandu kereta itu tidak cedera, namun dia juga tiada di tempat kejadian. Lelaki itu tinggalkan keretanya di situ,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superinten­dan Abdullah Ronning ketika dihubungi mengesahka­n kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia