Harian Metro

Hari tertentu qada puasa

-

 Wajib ganti jika ada kesempatan pada bulan dalam setahun sebelum datangnya Ramadan

Adakah ada hari khusus dalam bulan Syaaban yang patut untuk kita berpuasa? Apakah hukum seseorang yang suka menangguh qada puasa sehingga hampir kepada bulan Ramadan berikutnya?

Hafiz

Selayang, Selangor

Berbanding bulan lain, Nabi Muhammad SAW lebih banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban. Rasulullah SAW biasa berpuasa setiap bulan.

Aisyah berkata: “Rasulullah SAW pernah berpuasa hingga kami mengira Baginda ini tidak pernah berbuka dan pernah juga Baginda tidak berpuasa (sunat) hingga kami mengira Baginda tidak pernah berpuasa. Dan kadang-kadang Baginda melakukan puasa pada hari Isnin dan Khamis, kadang-kadang berpuasa selama tiga hari setiap bulan, khususnya pada hari putih (13, 14, 15) setiap bulan Qamariyah dan kadang-kadang Baginda selang sehari iaitu sehari berpuasa dan sehari berbuka seperti dilakukan Nabi Daud.

Rasulullah SAW bersabda: “Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud iaitu baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

Nabi SAW juga sering berpuasa pada bulan Syaaban seakan-akan perkara itu persiapan menghadapi bulan Ramadan.

Adapun berpuasa selama beberapa hari tertentu tidak terdapat riwayatnya sama sekali.

Di dalam syarak tidak boleh mengkhusus­kan hari-hari tertentu untuk berpuasa atau malam tertentu untuk melaksanak­an solat malam dengan tidak ada sandaran syar’inya.

Mengkhusus­kan waktu atau tempat tertentu dengan ibadat serta membataska­n bentuk atau kaifiat tertentu adalah urusan Allah SWT, bukannya urusan manusia.

Seseorang Muslim sama ada lelaki atau wanita yang tidak dapat berpuasa pada Ramadan selama beberapa hari kerana sakit, musafir, haid atau kerana uzur lain, wajib menggantik­annya jika ada kesempatan pada bulan-bulan dalam setahun sebelum datangnya Ramadan.

Di dalam syarak ada kelapangan untuk qada puasa Ramadan yang tidak dapat dikerjakan­nya itu. Ia dapat digantikan pada bulan Syawal atau pada bulan selepas itu.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 148 bermaksud: “..Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan…”

Manusia tidak mengetahui ajalnya maka segera menggantik­an puasanya adalah sikap berhati-hati bagi dirinya.

Di samping itu, kehidupan akhiratnya lebih terjamin dengan bersegera melepaskan tanggungan­nya.

Sekiranya ditangguhk­an disebabkan keuzuran seperti sangat panas, dalam keadaan lemah atau sangat sibuk sehingga tidak dapat mengqada puasanya, maka dia boleh menggantik­annya hingga menjelang Ramadan berikutnya.

Apabila datang bulan Syaaban sedangkan seseorang itu masih belum qada puasanya hendaklah dia ganti pada bulan Syaaban kerana ia peluang terakhir.

Menggantik­an puasa pada bulan Syaaban pernah dilakukan Ummul Mukminin Aisyah ra, beliau selalu tidak berpuasa pada bulan Ramadan selama beberapa hari kerana uzur (haid), lalu beliau menggantik­annya pada bulan Syaaban.

Contohnya, jika seseorang itu sakit pada bulan Ramadan hingga tiba bulan Ramadan tahun berikutnya, dalam tempoh waktu itu dia tidak dapat menggantik­an puasanya kerana keadaannya agak teruk dan sengsara.

Dalam keadaan seperti itu, qada puasanya boleh ditunda sehingga Ramadan berikutnya sehingga keadaan kesihatann­ya kembali pulih.

Seseorang itu tidak berdosa sekiranya berdepan kes seumpama itu. Allah SWT mengakhiri ayat puasa dengan firman-Nya: ...“Allah menghendak­i kemudahan bagimu dan tidak menghendak­i kesukaran bagimu…”

(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Penulis ialah pendakwah

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia