Harian Metro

Di gedung pakaian

- Siti Nadzirah Che Mud am@hmetro.com.my

 BSN satukan pertemuan emak, anak menuntut jurusan perubatan di Bangalore, India

Semalam menjadi hari paling bermakna buat seorang ibu tunggal apabila disatukan dengan anak perempuan kesayangan­nya yang sudah dua tahun tidak bertemu.

Kejutan penuh emosi itu membuatkan Azizah Husin, 58, menangis kegembiraa­n apabila anaknya Hafizah Che Ahmed, 24, yang menuntut di

India, berdiri di hadapan mata.

Sebelum itu, Azizah yang mempunyai 10 anak dibawa ke gedung pakaian Pelangi Textile, Guchil, di sini, untuk membeli pakaian baru, manakala Hafizah menyamar sebagai pekerja gedung untuk memberi kejutan kepada ibunya untuk menyatukan mereka menerusi inisiatif Bank Simpanan Nasional (BSN) sempena Kempen Riuhkan Raya BSN.

Azizah berkata, dia tidak menyangka anaknya berada di hadapannya kerana mengetahui anak ketujuh itu mempunyai kekangan kewangan untuk pulang menyambut Aidilfitri kali ini.

“Memang terkejut besar. Saya tidak sangka BSN sanggup taja dia balik ke sini. Alhamdulil­lah, saya sangat bersyukur.

“Terima kasih BSN kerana akhirnya terubat rindu saya menatap dan memeluk Hafizah. Kepulangan­nya adalah hadiah paling berharga untuk kami sekeluarga sempena Aidilfitri,” katanya, di sini.

Hafizah antara tiga penuntut cemerlang terpilih pulang beraya dengan tajaan tiket penerbanga­n daripada BSN.

Sementara itu, Hafizah berkata, kali terakhir dia pulang ke Malaysia pada 2015 ketika arwah bapanya meninggal akibat penyakit jantung. Katanya, dia menghantar permohonan menyertai kempen itu dan mengetahui terpilih Mei lalu, tetapi tidak memaklumka­nnya kepada sesiapa melainkan adik untuk memberi kejutan kepada ibunya.

“Saya akan berada di sisi keluarga selama dua minggu sebelum pulang ke India 2 Julai depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perniagaan Negeri BSN Kelantan, Komarudin Mustapha berkata, Kempen Riuhkan Raya BSN diadakan sebagai kesinambun­gan daripada kempen yang pernah diadakan sebelum ini.

“Aktiviti ini sebahagian tanggungja­wab sosial korporat (CSR) BSN dan kali pertama kita membawa pulang penuntut terpilih dari luar negara untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“BSN menaja kepulangan penuntut ini melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk MARA untuk mengenal pasti mereka yang cemerlang dan sudah lama tidak pulang ke tanah air.

“Kejutan hari ini (semalam) adalah yang ketiga dan terakhir tahun ini. Kali pertama ia dimenangi pelajar di Kota Bharu yang menuntut di Jepun dan kedua pelajar dari Langkawi yang menuntut di Mesir,” katanya.

Katanya, tahun ini BSN menjalanka­n kempen menyeluruh menerusi tiga segmen iaitu membawa pulang penuntut terpilih dari luar negara, Peraduan Produk Pembiayaan Kewangan dan Peraduan Seloka Raya bermula 1 hingga 16 Jun 2017.

 ??  ?? AZIZAH (kiri) tidak dapat menahan air mata sambil dipeluk anaknya, Hafizah yang pulang beraya.
AZIZAH (kiri) tidak dapat menahan air mata sambil dipeluk anaknya, Hafizah yang pulang beraya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia