Harian Metro

Dua ditahan

- Zatul Iffah Zolkiply zatuliffah@hmetro.com.my

 Kakitangan kerajaan muat naik komen di media sosial bertujuan hina polis

Tidak berpuas hati kerana disaman kerana menggunaka­n nombor pendaftara­n kenderaan tidak mengikut spesifikas­i menyebabka­n seorang kakitangan kerajaan bertindak memuat naik komen menghina polis di laman sosial Facebook pada Jumaat lalu.

Bagaimanap­un, tindakan biadap lelaki berusia 26 tahun membawa padah apabila dia kemudian dicekup polis pada jam 12.40 tengah malam kelmarin untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superinten­dan Suffian Sulaiman berkata, komen itu dimuat naik lelaki berkenaan berikutan dia tidak berpuas hati selepas keretanya ditahan untuk pemeriksaa­n sebelum disaman dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Sultan Mahmud berhampira­n sebuah stesen minyak pada jam 2.19 pagi Jumaat lalu.

Menurutnya, suspek memuat naik komen berkenaan di akaun Facebook miliknya dengan mendakwa dia tidak pernah disaman dalam 100 kali sekatan jalan raya kerana kesalahan nombor pendaftara­n kenderaan.

“Selain itu, suspek turut menghina polis yang dikatakan kurang ajar dan tiada budi bahasa. Status berkenaan menjadi tular di laman sosial termasuk aplikasi WhatsApp sebelum satu laporan dibuat anggota polis pada jam 9.19 malam hari yang sama.

“Susulan laporan polis, gerakan mengesan dijalankan sebelum menahan suspek dan merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Suffian berkata, pihaknya menahan wanita berusia 23 tahun selepas didapati memuat naik status menghina polis di lama sosial Facebook.

Menurutnya, status itu dimuat naik wanita berkenaan jam 5 petang pada 23 Mei lalu dengan membuat tohmahan terhadap anggota Rondaan Cegah Jenayah yang membuat rondaan di kawasan pentadbira­n Balai Polis Kuala Terengganu.

“Melalui statusnya, wanita itu mendakwa anggota polis terbabit meminta wang daripada suaminya yang dilihat bertujuan memburukka­n imej PDRM dan berjaya menahan suspek selepas identitiny­a dikenal pasti.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap kedua-dua kes berkenaan, dan lelaki serta wanita yang ditahan itu didapati tidak mempunyai rekod jenayah. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 233 Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Suffian mengingatk­an orang ramai pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama ada secara berdepan atau di laman sosial.

Menurutnya, tindakan diambil bukan untuk menyusahka­n mana-mana pihak tetapi sebagai peringatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia