Harian Metro

201 dibawa ‘shopping’ di Giant

-

Seramai 201 anak-anak yatim dan anak asnaf terpilih dibawa membeli-belah di Pasaraya Giant, di sini, pada Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2017 sempena Ramadan di Masjid Jamek Baru Gopeng selama dua hari bermula semalam.

Pengerusi TKHM Othman Mamat berkata, kumpulan berkenaan adalah daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Dahikmah Kampung Sungai Itek, Sekolah Kebangsaan (SK) Gopeng, SK Jalan Ilmu Kopisan Baru Gopeng, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Idris Shah, SMK Seri Teja dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gopeng.

Menurutnya, semua mereka dikumpulka­n di masjid berkenaan sebelum dibawa dengan menaiki bas ke pasar raya itu untuk memilih sendiri pakaian serta barangan yang mereka mahu.

“Semua anak-anak ini terdiri daripada anak yatim, kurang berkemampu­an, orang kurang upaya (OKU) dilihat begitu ceria memilih pakaian mereka dan ini yang kita inginkan iaitu menceriaka­n mereka pada bulan mulia ini.

“Keceriaan mereka sesuatu yang sangat berharga dan ia sekali gus menjadikan sambutan Hari Raya mereka lebih bermakna,” katanya ketika ditemui di pasar raya berkenaan.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida yang juga penaja utama program itu serta Setiausaha TKHM Badrila Jamlus.

Dr Seri Vida turut meluangkan masa selama 15 minit bermesra dengan anak-anak yatim dan asnaf selain membantu memilih pakaian kanak-kanak berkenaan.

Othman yang juga Pengarang Eksekutif (Pengeluara­n/BPI) Harian Metro berkata, penganjura­n program TKHM ini diadakan buat tahun ke-10 bagi meraikan golongan kurang bernasib baik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia