Harian Metro

Sokong pengganas

- Muhaamad Hafis Nawawi dan Adha Ghazali am@hmetro.com.my

 2 peniaga dituduh izin akaun peribadi diguna untuk biayai militan

Dua peniaga dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam atas pertuduhan terbabit dalam aktiviti pembiayaan keganasan dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hassan Syauqi Omar, 23, menghadapi tiga pertuduhan, manakala Mohd Shaifful Jaafar, 31, satu pertuduhan.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarka­n kertas pertuduhan, Muhammad Hassan Syauqi didakwa secara langsung memberi perkhidmat­an kewangan dengan membenarka­n kemasukan RM100 ke dalam akaun miliknya dipercayai akan memanfaatk­an pengganas Muhammad Fudhail Omar, 25, di Jalan Bukit Puteri 11/3A Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, pada 4.36 petang 28 April 2015.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberi perkhidmat­an kewangan dengan membenarka­n kemasukan RM200 ke dalam akaun miliknya dipercayai akan dimanfaatk­an pengganas Muhammad Fudhail di alamat sama pada jam 8.19 malam, 1 Mei 2015.

Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa memberi perkhidmat­an kewangan dengan kemasukan RM2,000 ke dalam akaun miliknya dipercayai akan dimanfaatk­an pengganas Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, 38, di alamat sama pada jam 3.03 petang, 29 April 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 130O (1)(b), Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130O (1)(bb), kanun sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta denda.

Mohd Shaifful didakwa memberi wang RM890 kepada Muhammad Hassan Syauqi dengan menggunaka­n akaun bank miliknya dipercayai akan digunakan untuk melakukan perbuatan pengganas di 1605, Lorong Teja 34, Taman Keladi, Sungai Petani, 9.15 malam 12 April 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130N(b), Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta denda.

Prosiding kes dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya bagi pertuduhan ke atas Muhammad Hassan Syauqi dan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farahin Ibrahim bagi pertuduhan ke atas Mohd Shaifful.

Muhammad Hassan Syauqi turut diwakili peguam bela Syafiqah Abdul Razak dan mahkamah menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara mendapat izin dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kulim, semalam atas kesalahan menyokong aktiviti kepenggana­san yang mempunyai kaitan dengan ketua militan Daish Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang terbunuh di Syria, April lalu.

Azuddin Mahmud, 54, didakwa melakukan kesalahan itu dengan membenarka­n kemasukan wang RM3,500 dalam akaun miliknya yang dipercayai keseluruha­n atau sebahagian daripadany­a memanfaatk­an pengganas itu.

Tertuduh yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Januari 2016, jam 7.26 pagi di No 307 Jalan Jati 1, Taman Jati di Kulim.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ellyna Othman mengikut Seksyen 130O(1)b, Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130O(1)(bb), kanun sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

Azuddin sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Manomani, mengangguk faham namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Majistret kemudian membenarka­n kes dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia