Harian Metro

Merindui ketupat, rendang di pagi raya

- Penulis Pengurusan Kanan CMC Engineerin­g di Hong Kong

Seminggu terakhir Ramadan di Hong Kong ini cuacanya sejuk, dengan jangkaan ribut petir serta hujan.

Sepanjang tiga minggu kebelakang­an ini, cuaca Hong Kong dan pulau berdekatan panas mencecah 45 darjah Celsius. Cuaca ini yang terpanas sejak lima tahun lalu.

Bagaimanap­un, aktiviti persekolah­an dan pejabat berjalan seperti biasa bagi hampir 250,000 orang Islam.

Sebagai kelompok minoriti, tiada banyak yang dikurniaka­n kerajaan, namun semua kebebasan dan kemudahan yang diberikan digunakan semaksimum mungkin.

Contohnya, buat pertama kali dalam tempaoh 10 tahun, kerajaan Hong Kong meluluskan penggunaan Victoria Park di daerah Causeway Bay sebagai laman utama untuk orang Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Permit sebegini bukannya asing, malah kerajaan Hong Kong tidak pernah menghalang penggunaan Victoria Park sebagai masjid terbuka pada setiap kali Aidiladha dan Aidilfitri.

Cuma, kali ini disebabkan tarikh 1 Syawal yang jatuh pada Ahad dijangka menjadikan bilangan mereka yang hadir menunaikan sembahyang raya akan meningkat tiga kali ganda.

Pihak berkuasa mula merancang pergerakan trafik dan manusia, sekali gus menyediaka­n pelbagai kemudahan sementara untuk menyenangk­an umat Islam beribadah.

Tandas sementara, pusat kawalan trafik dan sektor berbelanja bakal dibina di setiap lokasi strategik di Victoria Park.

Untuk makluman pembaca, Victoria Park berkeluasa­n separuh daripada Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur, cuma ia tidak mempunyai tasik.

Lokasinya terletak di antara daerah super sibuk iaitu Causeway Bay dan bersempada­nkan daerah Tin Hau dan Fortress Hill.

Sangat strategik dan seringkali digunakan untuk acara besar seperti Standard Chartered Marathon yang disertai 150,000 orang, Festival Lunar dan Perahu Naga, selalunya melibatkan kehadiran 300,00 orang.

Saya pernah bersembahy­ang raya di situ dan keadaannya tidak selesa sekali.

Bagi majoriti umat Islam, contohnya wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah, hampir tidak mempunyai masalah untuk berhimpit dan bersesak sesama mereka.

Ini kerana hari istimewa seperti ini juga menjadi salah satu hari untuk mereka berhimpun dan bertemu rakan serta sanak saudara. Pada mereka ini benar-benar raya!

Bagi umat Islam warga Pakistan dan India pula, yang majoritiny­a lelaki bekerja di sektor pembinaan dan perkilanga­n, mereka juga suka bersesak kerana peluang untuk bertemu dengan jodoh dan cinta hati sangat tinggi.

Selamba saja mereka berlegar-legar di antara Muslimah yang duduk bersantai sepanjang hari di Victoria Park.

Dianggarka­n terdapat 70,000 pekerja Indonesia dan sekitar 10,000 orang pekerja Asia Selatan.

Bayangkan betapa ‘hot’nya jejaka ini yang berpeleser­an dengan butang baju terbuka dan jambul di hujung rambut terjuntai di sebalik kopiah putih.

Bagi urusan sembahyang raya yang lebih teratur dan terkawal, masjid utama di Hong Kong seperti Masjid Besar Kowloon dan Masjid Wan Chai mengedarka­n risalah jadual sembahyang sejak hari pertama Ramadan bagi memudahkan umat Islam merancang pergerakan mereka ke masjid.

Sembahyang raya biasanya akan dilakukan dua atau maksimum tiga kali bagi membolehka­n semua umat Islam dapat menunaikan­nya dengan sempurna.

Masjid Kowloon pada satu-satu masa boleh memuatkan 5,000 jemaah manakala Masjid Wan Chai seramai 1,500 jemaah.

Keadaannya sangat sesak terutama sewaktu transisi jemaah yang selesai bersembahy­ang keluar dan bertembung dengan jemaah yang baru masuk.

Namun, peliknya – walaupun bersesak denga ribuan jemaah tidak pernah saya dengar kes kehilangan atau kecurian kasut!

Warga Indonesia paling beruntung kerana kedutaan mereka setiap tahun mengadakan solat sunat Aidilfitri di premis mereka yang nyaman dan berhawa dingin.

Namun, kadangkala kehadiran terlalu ramai jemaah untuk solat Aidilfitri menyesakka­n pergerakan dan mengganggu urusan pejabat yang lain.

Lemang, ketupat dan rendang terhad kepada inisiatif dan kreativiti masing-masing.

Bagi mereka yang berkeluarg­a, masa inilah sibuk untuk menyediaka­n masakan demi membawa ‘Malaysia’ ke meja makan pada pagi hari raya.

Orang kita akan membuat jadual rumah terbuka berserta menu pilihan masing-masing supaya perasan kerinduan kepada kampung halaman tidak terasa.

Cuma, di Hong Kong ini imej perayaan Aidilfitri dan makanannya didominasi oleh budaya India dan Pakistan.

Sebagai kelompok majoriti mereka merayakan sambutan dengan jamuan roti naan, ayam masala dan tandoori, ayam tikaa, beriani dan kebab.

Terselit di antaranya hidangan timur tengah seperti humus dan pilihan salad segar dan terbaik.

Jadi, bagi orang Malaysia – kami yang ada di sinilah keluarga besar orang Melayu Islam di Hong Kong.

Orang bujang, terutamany­a siswazah akan menempek di rumah mereka yang berkeluarg­a untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama-sama.

Perasaan kerinduan terubat sedikit dengan bantuan teknologi iaitu panggilan telefon boleh dilakukan dengan masa yang panjang serta menggunaka­n applikasi video seperti Skype.

Pagi-pagi Subuh sudah on Skype dengan datuk dan nenek di kampung halaman.

Dentuman meriam buluh? Jangan mimpilah. Lagu raya? Boleh...pasanglah seberapa kuat asalkan tidak melebihi paras bunyi jiran sebelah yang bergembira bermain mahjong.

Salam Syawal dari Hong Kong.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? MINGGU terakhir Ramadan
di Hong Kong cuacanya sejuk dengan jangkaan ribut
petir serta hujan.
MINGGU terakhir Ramadan di Hong Kong cuacanya sejuk dengan jangkaan ribut petir serta hujan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia