Harian Metro

18 JAM PUASA DI BULGARIA

-

bersama rakan baru.

DARI JAM 3 PAGI HINGGA JAM 9 MALAM

Tempoh imsak bermula sekitar jam 3.36 pagi dan waktu berbuka sekitar 9.11 malam, hampir setiap hari. Peralihan musim bunga ke musim panas secara tidak langsung mempengaru­hi cuaca sehingga ada ketika terik matahari mencecah hingga 36 darjah Celsius.

Cuaca adakalanya hujan membuatkan udara lebih sejuk dan kurang rasa dahaga. Namun jika panas sepanjang hari, terasa setiap jam berlalu cukup lambat.

Jika dikira, saya cuma mempunyai kurang daripada enam jam untuk makan setiap hari sepanjang Ramadan. Waktu inilah saya perlu tingkatkan kembali tenaga dengan minum air yang banyak, curi masa solat Tarawih sebelum memulakan hari baru dengan bersahur beberapa jam selepas itu.

TIADA BAZAR RAMADAN

Jika di Malaysia, hampir setiap petang kita mampu menikmati pelbagai juadah berbuka berbeza, namun tiada bazar Ramadan walaupun ada sekelompok kecil komuniti Islam di sini. Apa yang saya rindukan adalah kuih-muih pelbagai warna dan rasa dari setiap negeri yang dijual di bazar.

Untuk hilangkan kerinduan, saya cuba hasilkan beberapa jenis kuih tapi rasanya pastilah tidak sama. Contohnya agar-agar pandan, saya terpaksa ubah resipi dengan meletakkan perisa vanila kerana mustahil untuk dapatkan daun pandan di sini. Selebihnya saya beli manisan di luar untuk berbuka.

LATIH DIRI JADI VEGETARIAN

Hampir tiga bulan merantau, diet dan cara pemakanan saya berubah sepenuhnya. Jika sebelum ini saya makan daging, kini saya melatih diri menjadi vegetarian sepenuhnya. Disebabkan sukar dapatkan makanan laut segar apatah lagi daging halal dijual agak mahal, saya lebih selesa masak sendiri untuk berbuka.

Menu berasaskan sayuran sering menjadi pilihan. Roti, ada kalanya nasi, sup sayur dan sayur goreng diselang-seli setiap hari. Ada rakan bertanya adakah sukar mengubah diet sepenuhnya, bagi saya, tidak sukar jika anda mahu dan berazam lakukannya.

PUASA DAN BERBUKA SENDIRI

Untuk sekarang, saya bekerja sementara di sebuah hostel di Sofia yang dimiliki orang tempatan. Meskipun penganut Kristian Katolik, mereka menghormat­i saya sebagai penganut agama lain apatah lagi apabila tahu sekarang Ramadan.

Kedengaran mustahil tapi sepanjang lebih sebulan di hostel, saya belum temui seorang pun saudara seagama.

Namun, saya tetap bersyukur kerana setiap pengembara dan pelanggan di sini menerima dengan terbuka sekiranya saya mengerjaka­n solat di dalam bilik. Bukan itu saja, ada antara mereka membeli manisan dan hadiahkan pelbagai jenis buah-buahan untuk saya berbuka.

Walaupun sayu berbuka sendiri tanpa keluarga dan teman, jauh di sudut hati saya bersyukur masih berupaya menjalani ibadah puasa tanpa halangan dan berkongsi pengalaman berharga ini.

Banyak belajar hal baru, belum temui saudara seagama sejak sebulan menginap asrama di Sofia

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia