Harian Metro

Ejen mercun makan diri

Wakil insurans ditahan bekal bahan terlarang sejak awal Ramadan

- Iskandar Shah Mohamed iskandar@hmetro.com.my

Kegiatan seorang ejen insurans membekalka­n mercun secara haram sejak beberapa minggu lalu memakan diri apabila dicekup dalam serbuan di sebuah bengkel kereta di Taman Sri Muda, di sini, awal pagi kelmarin.

Difahamkan, bagi mengelak dihidu pihak berkuasa, lelaki berusia 25 tahun itu menjadikan bengkel berkenaan sebagai stor simpanan mercun sejak awal Ramadan.

Bahan tanpa lesen sah yang dipercayai diimport dari luar negara itu dibekalkan kepada penjual untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Tindakan suspek yang juga ejen jualan kenderaan itu, bagaimanap­un tidak bertahan lama berikutan kejayaan rampasan mercun bernilai RM60,000.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, serbuan kira-kira jam 2 pagi itu dijalankan hasil maklumat dan risikan mengenai kegiatan haram lelaki terbabit.

“Hasil pemeriksaa­n menemui 840 bungkus mercun papan, 246 bungkus mercun bola dan 10 kotak mercun ‘Happy Boom’ di dalam premis terbabit.

“Suspek didapati tidak mempunyai lesen sah untuk menjual atau membekalka­n mercun dan semuanya dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya sedang menjalanka­n siasatan menyeluruh termasuk mengenal pasti pembabitan individu lain termasuk pembeli mercun itu.

“Suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

 ?? FOTO: NUR SHAZREEN ZAMZURI ?? SHAFIEN menunjukka­n mercun yang dirampas daripada seorang lelaki.
FOTO: NUR SHAZREEN ZAMZURI SHAFIEN menunjukka­n mercun yang dirampas daripada seorang lelaki.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia