Harian Metro

‘Kami bukan pengecut’

Dhaarma tegas tidak akan bermain secara bertahan walau berdepan lawan lebih hebat

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menegaskan beliau tidak akan meminta anak buahnya bermain secara bertahan ketika bertemu lawan lebih baik pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium hari ini.

Tegas Dhaarma, selepas tiada sebarang pengiktira­fan atau rasa hormat diberikan pasukan gergasi kepada skuad negara selama ini, sekarang tiba masanya untuk Malaysia membuktika­n mereka bukan calang-calang pasukan, sebaliknya mampu memberi saingan sengit dan atas faktor itu bertahan bukan pilihan utama.

“Selepas beberapa pasukan memperleke­hkan kami, saya sudah membuat satu ketetapan.

“Kami tidak akan bermain secara bertahan hanya kerana lawan mempunyai ranking lebih tinggi. Kami tidak akan bermain seperti pengecut hanya kerana bertemu lawan yang mempunyai nama gah.

“Jika mereka rasa mampu menewaskan kami, kita kena terima hakikat itu.

“Tapi kami juga ingin beraksi dengan baik dan mahu dunia tahu Malaysia mempunyai pemain dan pasukan yang bagus,” katanya selepas menyaksika­n anak buahnya mencatat kemenangan 4-1 ke atas pasukan bawah 21 tahun Belgium pada aksi pemanas badan keempat semalam.

Jelas Dhaarma, sejak membimbing pasukan itu awal tahun lalu, Malaysia sering dipandang rendah pasukan lawan yang kebiasaann­ya mempunyai ranking lebih tinggi.

“Bagaimanap­un pasukan kita sudah semakin meningkat dari semasa ke semasa. Mereka sangat bekerja keras dan dahagakan kejayaan,” katanya.

Untuk rekod, ini kali pertama skuad wanita layak ke saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang juga kempen kelayakan untuk Piala Dunia 2018 London selepas muncul naib juara pusingan kedua, Januari lalu.

Malaysia akan memulakan saingan dengan bertemu pasukan ranking keempat dunia Australia pada aksi peringkat Kumpulan B.

Selain Australia, tiga lagi pasukan yang jauh berada di atas Malaysia adalah New Zealand, Sepanyol dan Belgium selaku tuan rumah.

 ??  ?? PEMAIN wanita negara giat berlatih.
PEMAIN wanita negara giat berlatih.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia